Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Seramai 2,848 penyelamat daripada pelbagai agensi dikerah bagi menghadapi peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku pertengahan November ini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, jumlah itu termasuk 144 pegawai dan 728 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang dipersiapkan dengan aset sedia ada.

Katanya, pihaknya juga akan menambah kekuatan penyelamat bergantung kepada keperluan dan berdasarkan perkembangan semasa dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).

"Jika kekuatan yang kita sediakan tidak mencukupi, kita akan tambah mengikut keperluan dan biasa setiap tahun, kita mendapat bantuan unit sokongan seperti Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan unit tertentu daripada Bukit Aman.

"Malah, kita sudah mengeluarkan arahan cuti beku kepada semua pegawai, anggota dan kakitangan awam PDRM Terengganu berkuat kuasa 1 November," katanya pada sidang media mengenai persiapan menghadapi Monsun Timur Laut 2022/2023 Peringkat Negeri Terengganu di sini, hari ini.

Rohaimi berkata, pihaknya juga memberikan lebih perhatian di Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman yang biasanya menghadapi banjir teruk berbanding daerah lain.

Dalam pada itu, Rohaimi memberi amaran kepada penduduk agar tidak menyebarkan dakwaan kononnya Empangan Kenyir pecah, selepas Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengesahkan ia hanya Latih Amal Pelan Tindakan Kecemasan Empangan Kenyir.

"Kita akan mengambil tindakan lebih tegas kepada mereka yang menyalurkan berita tidak sahih dan memantaunya dari semasa ke semasa," katanya.

ROHAIMI (tengah) pada sidang media berhubung persiapan menghadapi Monsun Timur Laut di IPK Terengganu, hari ini. FOTO Ghazali Kori.
ROHAIMI (tengah) pada sidang media berhubung persiapan menghadapi Monsun Timur Laut di IPK Terengganu, hari ini. FOTO Ghazali Kori.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 6:18 PM