GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap peruntukan khusus diberikan tahun depan supaya utiliti sedia ada di bawah Jalan Persekutuan dapat digantikan dengan teknologi baharu, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata banyak utiliti atau paip air di bawah jalan lama di seluruh negara ketika ini sama ada membabitkan Jalan Persekutuan, negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT) menggunakan teknologi lama.

"Oleh sebab itu kadang-kadang berlakunya (jalan rosak) sebab paip yang lama menggunakan paip besi, berlaku karat dan sebagainya maka paip akan gagal dan pecah menyebabkan jalan mendap. Ini yang berlaku sekarang ini.

"Kita minta untuk tahun depan peruntukan khusus supaya kita dapat mengalihkan utiliti sedia ada, digantikan dengan teknologi yang lebih baharu supaya daya tahan paip-paip tersebut lebih baik, tidak akan berlaku kerosakan disebabkan karat ataupun kegagalan permukaan tanah dan sebagainya," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di sini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) sama ada kementerian berkenaan bersetuju untuk membayar pampasan kepada individu yang menjadi mangsa kepada jalan rosak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 1:43 PM