DATUK Norliza Abdul Rahim. FOTO arkib NSTP
DATUK Norliza Abdul Rahim. FOTO arkib NSTP

Kuala Lumpur: Datuk Norliza Abdul Rahim, disebut-sebut calon 'heavyweight' Barisan Nasional (BN) yang bakal mengisi kerusi Parlimen Tasek Gelugor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ini sekali gus memperkukuhkan kuota 30 peratus pencalonan wanita BN dalam PRU-15 kali ini dalam misi penting merampas semula kerusi milik BN itu selepas penyandangnya, Datuk Shabudin Yahaya melompat ke parti lain.

Penganalisis sosio-ekonomi dan politik di Pusat Penyelidikan Strategik, Ahmad Fauzi Mustafa berkata, Norliza yang juga Naib Ketua Wanita Umno Malaysia dilihat menepati dan mempunyai ciri-ciri sebagai calon WALI (Winnable, Acceptable, Likeable) berlandaskan kepimpinannya sebagai Ketua Wanita Umno dan BN Pulau Pinang yang dekat di kalangan rakyat dan ahli parti.

"Berprinsipkan bantu sehabis baik, Norliza dilihat keberadaan di sekeliling masyarakat apatah lagi jentera Wanita Pulau Pinang tidak pernah berhenti menyantuni masyarakat tanpa mengira waktu dan memahami keperitan hidup rakyat.

"Sudah tentu pengundi Tasek Gelugor ternanti-nanti bakal calon yang baharu selepas Shabudin mengesahkan tidak lagi mahu mempertahankan kerusi parlimen berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, ini memberikan ruang terbaik BN mempertaruhkan reputasi Norliza yang juga Pengerusi UDA Holdings Berhad kerana beliau boleh diterima semua lapisan masyarakat terutama pengundi wanita, belia dan pengundi kali pertama.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan baru-baru ini menegaskan BN akan menumpukan kawasan yang kalah tipis, tetapi tidak mengecualikan kawasan BN yang menang dengan majoriti tipis.

Pada PRU-14, BN memenangi kerusi Tasek Gelugor sebanyak 18,547 undi dengan majoriti 81 undi menewaskan Marzuki Yahya dari PKR yang memperoleh 18,466 undi dan Rizal Hafiz Ruslan dari Pas yang memperoleh sebanyak 14,891 undi.

Ahmad Fauzi berkata, walaupun kemenangan BN ketika itu majoriti tipis, ia tidak menampakkan sebarang masalah kerana Norliza adalah antara calon terbaik Wanita BN, mempunyai komitmen tinggi serta dijangka disokong kuat pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Dua dan Permatang Berangan, yang dimenangi BN kecuali DUN Telok Ayer Tawar.

"Setakat ini, kerusi Parlimen Tasek Gelugor turut menarik minat Pas yang bersedia meletakkan calon. Berdasarkan rekod, Pas sudah tujuh kali bertanding di Tasek Gelugor sejak pilihan raya pada 1986, namun sehingga kini belum pernah memenangi kerusi berkenaan," katanya.

Beliau berkata, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan turut dilihat semakin kerap turun padang di Tasek Gelugor.

"Namun berlaku kecelaruan rundingan di antara calon Bersatu dan Pas kerana masing-masing di bawah gabungan politik Perikatan Nasional (PN).

"Ini sudah tentu menyulitkan keadaan percaturan siapa yang layak sedangkan penyandang sekarang telah melompat parti dari BN ke Bersatu, manakala Pas pula mempertaruhkan komitmen yang tinggi kerana sudah mempunyai jentera kukuh dan berpotensi besar menarik undi pengundi tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2022 @ 4:18 PM