Mohd Rafi Mamat


Pekan: Jabatan Perikanan Pahang sedang menyiasat punca ribuan ikan mati dalam tali air di sawah Kampung Ganchong Tengah dan Kampung Ganchong Hulu, di sini, minggu lalu.

Pengarahnya Abdullah Jaafar berkata, siasatan bertumpu untuk mengenal pasti punca kejadian berkenaan boleh berlaku.

"Kita sudah mengambil ikan yang mati untuk analisa di makmal bagi mengenal pasti punca kematian, sama ada disebabkan pencemaran air atau faktor lain untuk mengetahui punca kematian ikan secara mengejut seperti didakwa penduduk.

"Selain pencemaran air, faktor cuaca juga boleh menyebabkan ikan mati dengan jumlah yang banyak secara serentak," katanya.

Sementara itu, penduduk Ramli Bidin, 83, mendakwa pencemaran air dipercayai menjadi punca ratusan kilogram ikan dalam tali air di sawah Kampung Ganchong Hulu, dekat sini, mati secara mengejut minggu lalu.

Katanya, ikan pelbagai spesies seperti baung ekor merah, lampam jawa, kerai, haruan, keli dan temperas mati sepanjang tali air yang membekalkan sumber air kepada lebih 150 hektar sawah yang diusahakan 83 pesawah tempatan.

Menurutnya, sebelum ini kejadian ikan mati dalam tali air sawah di kampung itu pernah berlaku, namun tidak terlalu serius.

"Kejadian terbaharu yang berlaku ini seolah-olah membunuh semua ikan yang terdapat dalam tali air terbabit, ikan bersaiz kecil dan besar semua mati.

"Saya bagi pihak penduduk merayu kepada pihak berkaitan supaya dapat segera menyiasat punca kejadian sehingga menyebabkan banyak ikan mati," katanya.

BANGKAI ikan dalam tali air sawah Kampung Ganchong Hulu. FOTO Mohd Rafi Mamat
BANGKAI ikan dalam tali air sawah Kampung Ganchong Hulu. FOTO Mohd Rafi Mamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 3:23 PM