RADZI (kiri) beramah mesra bersama murid yang sedang berehat di kantin sekolah semasa mengadakan lawatan mengejut ke SK Putrajaya Presint 9(2), Putrajaya hari ini. FOTO BERNAMA
RADZI (kiri) beramah mesra bersama murid yang sedang berehat di kantin sekolah semasa mengadakan lawatan mengejut ke SK Putrajaya Presint 9(2), Putrajaya hari ini. FOTO BERNAMA
Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Sebelas inisiatif membabitkan tiga teras utama dengan kos kira-kira RM6.8 bilion adalah senarai harapan (wishlist) Kementerian Pendidikan (KPM) pada Bajet 2023 yang bakal dibentangkan Jumaat ini.

Mendedahkan tiga teras itu, Menteri Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ia membabitkan inisiatif untuk murid, guru dan infrastruktur.

Menurutnya, permohonan peruntukan untuk inisiatif itu tidak termasuk bajet keseluruhan kementeriannya.

Katanya, antara yang menjadi permintaan KPM untuk dilaksanakan tahun depan termasuk pembelian peranti bagi kegunaan guru di seluruh negara dan peningkatan kos Rancangan Makanan Tambahan (RMT) serta kemudahan untuk murid berkeperluan khas.

"Kita punya 'wishlist' adalah berdasarkan kepada tiga teras utama ini. Dalam setiap teras utama ada pelbagai perkara yang kita sentuh.

"Apa yang paling penting kita ingin melihat supaya dengan inisiatif ini keseluruhan ekosistem pendidikan ini akan dapat terus ditambah baik dari semasa ke semasa.

"Antara yang kita rasa perlu perhatian khusus adalah berkaitan dengan guru termasuk pemberian peranti untuk guru," katanya ketika sidang media selepas lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 9 (2) di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPM, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

Radzi berkata, berbanding kakitangan lain yang dibekalkan dengan komputer dan komputer riba serta ruang kerja (workstation) guru tidak menikmati kemudahan sedemikian.

Beliau berkata, tatkala KPM sedang bergerak ke arah pendigitalan sistem pendidikan termasuk pengautomasian pengajaran dan pembelajaran (PdP), peranti untuk guru adalah satu komponen penting.

Katanya, ia selaras hasrat KPM untuk guru menggunakan lebih banyak inovasi dan kreativiti dalam PdP.

Untuk tujuan itu, Radzi berkata, pihaknya memohon peruntukan sebanyak RM2.8 bilion untuk membekalkan peranti kepada guru-gurunya.

Sementara itu, Radzi berkata, turut dipohon melalui Bajet 2023 adalah untuk kadar RMT sedia ada sebanyak RM2.50 ketika ini kepada kadar yang bersesuaian dengan mengambil kira situasi semasa.

Beliau berkata, ia bagi membolehkan pengusaha kantin mendapat sedikit ruang untuk melaksanakan perniagaan masing-masing.

Selain itu, katanya, tumpuan Bajet 2023 juga diberikan kepada infrastruktur untuk murid berkeperluan pendidikan khas supaya golongan itu tidak ketinggalan dalam arus pendidikan perdana.

Radzi berkata, KPM turut memohon peruntukan khusus untuk menggalakkan pendaftaran mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang dilihat semakin merosot.

"Kemasukan untuk program STEM semakin hari semakin menurun dan ia memerlukan intervensi menyeluruh dan peruntukan khusus.

"Ia bagi meningkatkan kemasukan ke program STEM bagi menyediakan modal insan masa hadapan yang mempunyai kepakaran supaya Malaysia dapat bersaing di peringkat dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 2:21 PM