Gambar fail, Dr Radzi Jidin. FOTO Bernama.
Gambar fail, Dr Radzi Jidin. FOTO Bernama.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata ada hikmah di sebalik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan pandemik Covid-19 apabila guru di negara ini mula menambah baik kemahiran digital mereka demi menyampaikan ilmu kepada pelajar.

Beliau berkata, senario itu berlaku sejak PKP 1.0 dilaksanakan pada Mac tahun lalu setelah sekolah terpaksa ditutup dan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) perlu dijalankan.

"Nyata guru-guru kita ini hebat. Sebelum PKP ramai guru belum terdedah dengan pendigitalan, tetapi kita lihat dari PKP 1.0 hingga PKP 3.0, Alhamdulillah, guru-guru mula menggunakan ruang ini mengambil inisiatif menambah baik dan mempelajari kaedah digital demi memastikan ilmu dapat disampaikan," katanya dalam rancangan Bual Bicara Khas Hari Guru bersama Menteri Kanan Pendidikan, hari ini.

Program berkenaan disiarkan menerusi FB Live dan Saluran DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersempena Hari Guru ke-50 bertemakan 'Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu'.

Radzi mengakui penutupan sekolah sepanjang tempoh diduga dengan pandemik itu adalah cabaran yang besar kepada guru kerana mereka sukar melihat penglibatan murid atau pelajar dalam sesi pembelajaran.

Justeru, beliau berkata, mekanisme PdPR ditambah baik secara kreatif oleh guru-guru termasuk disebabkan oleh kekangan kemudahan teknologi.

"Bagi kes kekangan ketiadaan peranti dan akses Internet, guru bertugas melakukan segala yang termampu termasuk menghantar modul pendidikan ke rumah murid-murid bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran," katanya.

Di samping itu, beliau berkata pendigitalan dalam pendidikan sememangnya menjadi dasar KPM dan proses itu tidak dapat dielak bagi melahirkan pelajar yang mahir digital.

Beliau berkata, Covid-19 juga menyaksikan proses pendigitalan dalam sistem pendidikan termasuk kaedah penandaan kertas jawapan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dibuat secara dalam talian dan ini nyata lebih efektif dan menjimatkan masa.

Namun, beliau berkata, sesi secara bersemuka tetap menjadi kaedah terbaik bagi menilai prestasi murid secara keseluruhan dan KPM akan memastikan sekolah dibuka dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat apabila situasi Covid-19 terkawal dan sesi bersemuka dapat kembali dijalankan.

Beliau menambah KPM juga akan memastikan semua guru di negara ini diberi keutamaan menerima vaksin Covid-19 bagi mewujudkan suasana selamat di sekolah.

Radzi turut mengucapkan 'Selamat Hari Guru' kepada semua warga pendidik negara ini dan menyeru guru menggunakan kaedah terbaik dan kreatif sepanjang pelaksanaan PdPR dalam tempoh dua minggu selepas Aidilfitri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 1:32 PM