GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norsyazwani Nasri


Kuching: Polis menafikan kejadian seorang murid tahun satu, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Batu 10 di sini, yang didakwa hampir menjadi mangsa culik hari ini.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan mengesan beberapa paparan yang dimuat turun dan tular di media sosial hari ini.

"Kita menafikan perkara ini dan menyifatkannya tidak berasas kerana tiada sebarang laporan diterima berkenaan kejadian culik di Daerah Padawan.

"Malah, guru besar sekolah itu sudah dihubungi dan menafikan dia memberi maklumat berkenaan dengan kes yang dimaksudkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abang Zainal Abidin mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan pengesahan terlebih dahulu daripada pihak berwajib sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Sebarang kenyataan yang disiarkan tanpa pengesahan serta bukti yang sahih boleh disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2022 @ 8:02 PM