ABANG Johari melancarkan perkhidmatan bas sekolah percuma di SMA Creative Heritage Innovation Centre, Kuching. FOTO Nadim Bokhari
ABANG Johari melancarkan perkhidmatan bas sekolah percuma di SMA Creative Heritage Innovation Centre, Kuching. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi

KERAJAAN Sarawak memperuntukkan RM5 juta bagi menyediakan perkhidmatan bas sekolah percuma untuk penduduk di kawasan bandar.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, sebagai permulaan perkhidmatan bas sekolah percuma itu disediakan di Kuching dan Padawan.

Beliau berkata, ia antara janji kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi meringankan beban rakyat, khususnya bagi memudahkan anak-anak ke sekolah.

"Hari ini, perkhidmatan bas sekolah percuma itu menjadi kenyataan dan inilah antara inisiatif kerajaan negeri untuk mensejahterakan rakyat dan mempertahankan keadilan sosial di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan perkhidmatan bas sekolah percuma di Kuching, hari ini.

Bagi permulaan, 46 bas menyertai program perkhidmatan bas sekolah percuma yang dikendalikan Yayasan Sarawak itu.

Ia menyediakan perkhidmatan kepada murid di 32 sekolah di sekitar Kuching dan Padawan.

Abang Johari berkata, perkhidmatan itu akan diperluaskan ke bandar besar lain antaranya Sibu dan Miri pula selepas ini.

"Kuching sebenarnya adalah kawasan ujian dan selepas perkhidmatan bas sekolah percuma berjaya, kita akan memperluaskannya Miri dan Sibu.

"Sudah tentu peruntukan juga akan bertambah. Jika di Kuching ini diperuntukkan RM5 juta, untuk lokasi lain juga peruntukkan dalam jumlah sama akan dikeluarkan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) sedang berusaha untuk mendapatkan lesen bagi menyediakan perkhidmatan komunikasi di kawasan yang tidak menerima kemudahan itu daripada syarikat telekomunikasi.

"Ketika ini, SMA sudah mendirikan banyak menara di kawasan pedalaman, tetapi tiada syarikat telekomunikasi yang mahu menyediakan perkhidmatan kerana ia tidak menguntungkan.

"Bagi memastikan semua rakyat mendapatkan kemudahan telekomunikasi khususnya Internet, kerajaan negeri menerusi SMA akan menyediakan perkhidmatan itu," katanya.

Justeru katanya, beliau sudah berbincang dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berhubung lesen kepada SMA untuk mengendalikan perkhidmatan itu.

"Saya percaya Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan mempertimbangkan permohonan kita itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 8:29 PM