TARMIZI (kanan) bersama isterinya melihat pisang seribu yang ditanam di hadapan rumahnya di Taman Damar, Gua Musang, Kelantan. FOTO Paya Linda Yahya
TARMIZI (kanan) bersama isterinya melihat pisang seribu yang ditanam di hadapan rumahnya di Taman Damar, Gua Musang, Kelantan. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Pokok Pisang Seribu menjadi buruan peminat pokok hiasan eksotik kerana keunikannya yang membuahkan 1,000 biji pisang.

Pemiliknya, Tarmizi Dollah Ahmad, 55, berkata benih pokok itu mendapat permintaan tinggi dalam kalangan mereka yang minat dengan tanaman eksotik berkenaan.

"Pokok pisang seribu dan kantan malerus antara mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

"Sejak menanam pokok pisang seribu bermula November tahun lalu, saya sudah beberapa kali menjual benihnya kepada pembeli dengan harga RM25 sepokok.

"Pokok pisang seribu sepanjang 3.4 meter ini juga menjadi tarikan tetamu," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.

Selain pokok pisang seribu, dia juga menanam kira-kira 30 jenis tanaman eksotik dan herba antaranya tebu pelangi, tebu gading, kunyit bunian, jambu strawberi, pokok matoa, delima bonsai, kemoyang merah dan ubi betik atau pokok cahaya.

Ahmad Termizi berkata, dia mula meminati tanaman eksotik dan herba sejak dari kecil dan tidak menyangka ramai yang berminat untuk membelinya.

"Apabila saya siarkan gambar pokok yang ditanam dalam media sosial, ramai yang mesej berminat untuk beli benih.

"Alhamdulillah, minat saya ini sedikit-sebanyak dapat dijadikan pendapatan sampingan buat kami sekeluarga," katanya yang juga pesara tentera.

Sementara itu, isterinya, Mahzan Che Husin, 45, berkata dia tidak menyangka hobi suaminya boleh dijadikan pendapatan sampingan selain untuk mengisi masa lapang.

"Saya sentiasa menyokong minatnya dalam bidang ini dan kami sekarang sedang mengusahakan tanaman tebu berhampiran rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2022 @ 3:35 PM