TINJAUAN harga barang basah ketika Ramadan di Pasar Chow Kit. FOTO Eizairi Shamsudin.
TINJAUAN harga barang basah ketika Ramadan di Pasar Chow Kit. FOTO Eizairi Shamsudin.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Memasuki hari ketiga Ramadan, rata-rata peniaga masih mengekalkan harga barangan basah dan tiada kenaikan ketara di pasaran.

Tinjauan Harian Metro di Pasar Chow Kit di sini mendapati, rata-rata peniaga masih mengekalkan harga barangan seperti ayam, daging, ikan dan sayur sayuran seperti ditetapkan pihak berkuasa.

Harga daging import masih dijual sekitar RM22 sekilogram (kg), manakala bagi ayam standard pula pada harga RM9.40 per kg.

Begitu juga dengan sayur-sayuran masih dijual pada kadar ditetapkan menggunakan kaedah tiga ikat atau longgok untuk RM5.

Bagi kakitangan swasta, Zakaria Ngah, 40, berkata, pengguna berharap tiada sebarang kenaikan harga barangan berlaku sepanjang sebulan umat Islam berpuasa sehinggalah Aidilfitri bulan depan.

"Seperti hari ini, harga barangan masih kekal membolehkan kami berbelanja mengikut kemampuan masing-masing.

"Jika harga barangan meningkat, ia menambah beban kami untuk menyambut Aidilfitri," katanya kepada Harian Metro.

TINJAUAN harga barang basah ketika Ramadan di Pasar Chow Kit. FOTO Eizairi Shamsudin.
TINJAUAN harga barang basah ketika Ramadan di Pasar Chow Kit. FOTO Eizairi Shamsudin.

Katanya, pihaknya sangat berharap harga barangan dapat dikekalkan supaya orang ramai berkemampuan membeli juadah di Bazar Ramadan sekali gus membantu peniaga meningkatkan hasil pendapatan.

Bagi suri rumah, Rogayah Ahmad, 56, pemerhatiannya mendapati harga jualan masih kekal sama seperti minggu lalu.

"Saya memang membeli barangan setiap minggu, disebabkan itu saya dapat membezakan harganya.

"Minggu ini, semua barangan seperti ayam, daging dan sayuran masih dijual dengan harga yang sama, diharap tiada peningkatan lagi selepas ini," katanya.

Sementara itu, peniaga daging dan ayam dikenali sebagai Farid, 37, berkata, dia masih mengekalkan harga barangan seperti ayam dan daging ketika ini berikutan masih memperoleh bekalan bahan mentah itu dengan harga berpatutan daripada pembekal ketika ini.

"Untuk hari ini, harga daging import masih dijual sekitar RM22 bagi sekilogram (kg), manakala bagi ayam standard pada harga RM9.40 per kg sama seperti minggu lalu.

"Peniaga pun tidak mahu letak harga mahal, nanti tiada orang datang nak beli dan kita tidak terputus bekalan. Jadi, apa yang kita boleh buat kekalkan sahaja harga ketika ini sama seperti sebelum bulan puasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2023 @ 5:16 PM