Keadaan air banjir yang masih bertakung di Kampung Baru Sri Gading, hari ini. Foto Essa Abu Yamin
Keadaan air banjir yang masih bertakung di Kampung Baru Sri Gading, hari ini. Foto Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Jumlah mangsa banjir kilat di daerah ini menurun kepada 213 orang setakat jam 4 petang ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Batu Pahat berkata, jumlah itu membabitkan 56 keluarga di sekitar Sri Gading.

"Jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 232 mangsa terdiri daripada 67 keluarga yang dilaporkan terjejas pada jam 12 tengah hari tadi.

"Kesemua mereka ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SMK Sri Gading.

"Mangsa adalah penduduk Taman Sri Panchor, Kampung Sengkuang, Kampung Baru Sri Gading, Kampung Seri Tanjung dan Pekan Seri Gading," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, banjir berlaku susulan pertembungan hujan lebat bermula jam 1.30 pagi sehingga 4 pagi pada Rabu dan bertembung dengan fenomena air pasang besar yang memburukkan lagi keadaan banjir di kawasan berkenaan.

"Setakat ini, hanya satu PPS yang beroperasi dan menempatkan mangsa banjir sejak 1.30 pagi Rabu lalu. Cuaca dilaporkan cerah setakat jam 4 petang ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2022 @ 4:48 PM