MANGSA banjir dipindahkan ke PPS SMK Sri Gading. FOTO Essa Abu Yamin
MANGSA banjir dipindahkan ke PPS SMK Sri Gading. FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Jumlah mangsa banjir di daerah ini meningkat kepada 263 orang setakat jam 12 tengah hari, hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Batu Pahat berkata, jumlah itu membabitkan 74 keluarga di sekitar Sri Gading.

"Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 255 mangsa terdiri daripada 72 keluarga yang dilaporkan terjejas pada jam 8 malam semalam.

"Kesemua mereka ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SMK Sri Gading.

"Mangsa adalah penduduk Taman Sri Panchor, Kampung Sengkuang, Kampung Baru Sri Gading, Kampung Seri Tanjung dan Pekan Seri Gading," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, banjir berlaku susulan pertembungan hujan lebat bermula jam 1.30 pagi sehingga 4 pagi kelmarin dan bertembung dengan fenomena air pasang besar yang memburukkan lagi keadaan banjir di kawasan berkenaan.

"Setakat ini, hanya satu PPS yang beroperasi dan menempatkan mangsa banjir sejak 1.30 pagi semalam. Cuaca dilaporkan cerah setakat jam 12 tengah hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2022 @ 2:48 PM