FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

Kuala Lumpur: Pandemik Covid-19 yang berlarutan sejak 32 bulan lepas semakin menghampiri garisan penamat.

Pendirian positif ini dizahirkan oleh Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam sidang media secara maya dari Geneva, Switzerland pada Rabu lepas.

"Angka kematian mingguan akibat Covid-19 adalah paling rendah sejak Mac 2020. Kita belum pernah berada dalam keadaan sebaik ini untuk menamatkan pandemik ini. Meskipun kita belum sampai ke titik akhir namun kita sudah boleh nampak penghujungnya.

"Kita dalam kedudukan untuk menang dan perlu meneruskan larian untuk sampai ke garisan penamat. Jika kita leka, kita berdepan risiko lebih banyak varian, lebih banyak kematian. Usaha keras selama 32 bulan ini perlu diteruskan," kata beliau sambil menambah, pemberian vaksin untuk kumpulan paling berisiko tinggi termasuk pekerja kesihatan perlu diteruskan bagi mencapai tahap 100 peratus.

Sementara itu, angka kes harian baharu Malaysia terus kekal di bawah 2,500 dengan 2,375 kes harian baharu Covid-19 dilaporkan kelmarin 15 September termasuk 11 kes import.

Menurut data Covidnow Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga pukul 11:59 malam 15 September 2022, tujuh negeri mencatat kes tiga angka iaitu Selangor (683), Kuala Lumpur (458), Sabah (230), Perak (221), Melaka (113), Pulau Pinang (108) dan Sarawak (106).

Kes dua angka dilaporkan di Negeri Sembilan (84), Kelantan (74), Johor (71), Kedah (70), Pahang (69), Putrajaya (47) dan Terengganu (28).

Kes satu angka di Labuan (4) dan Perlis (9).

Setakat ini untuk bulan September, kes terendah dilaporkan pada 11 haribulan sebanyak 1,483 kes dan untuk bulan sebelumnya Ogos, sebanyak 1,946 pada 29 Ogos.

Berikut kes harian baharu Covid-19 sepanjang tempoh rangkuman mingguan 10 September hingga 15 September 2022: 10 September (1,971), 11 September (1,483), 12 September (1,847), 13 September (1,942), 14 September (2,431) dan 15 September (2,375).

Kes harian baharu Covid-19 untuk minggu sebelumnya (3 September- 9 September) adalah seperti berikut: 3 September (2,244), 4 September (1,904), 5 September (1,486), 6 September (2,067), 7 September (2,428), 8 September (2,226) dan 9 September (1,990).

Negara jiran Singapura turut melaporkan kes harian Covid-19 yang rendah, seperti berikut: 10 September (1,824), 11 September (1,440), 12 September (1,453), 13 September (3,352), 14 September (2,426) dan 15 September (2,423).

Untuk tempoh rangkuman ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan hanya tiga kluster baharu iaitu satu pada 10 September iaitu Kluster Sejahtera Kaki Bukit (kumpulan berisiko tinggi) di Kangar, Perlis (8 kes) dan dua kluster tempat kerja pada 13 September iaitu Kluster Persiaran Bukit Kiara 3 di Kepong, Kuala Lumpur (11 kes) dan Kluster Jalan Mahawangsa di Kinta, Perak (8 kes).

Secara keseluruhannya, sebanyak KKM mengesan 7,075 kluster sejak pandemik Covid-19 melanda negara ini lebih dua tahun lalu dan setakat 15 September sebanyak 20 kluster masih aktif.

Sebanyak 1,466 kes sembuh Covid-19 dilaporkan dan kumulatif kes sembuh kini sebanyak 4,750,198 kes.

Data Covidnow KKM setakat pukul 11:59 malam 15 September 2022 menunjukkan 25,912 kes (95.2 peratus) dikuarantin di rumah daripada 27,205 kes aktif.

Sebanyak 8 kes (0.0 peratus) lagi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC); 1,232 kes (4.5 peratus) di hospital; 12 kes (0.0 peratus) di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP) sementara 41 kes (0.2 peratus) di ICU memerlukan ABP.

Dengan sebanyak 4,813,702 kes kumulatif, Malaysia kini di tangga 27 daripada 228 buah negara/wilayah yang dilanda pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia ialah Greece (4,838,811) dan Austria (4,955,082).

Dalam kalangan 228 buah negara, mengikut data terkini Worldometer, Jepun masih mencatat kes harian baharu tertinggi (99,546) diikuti Korea Selatan (71,432) dan Rusia (56,126).

Amerika Syarikat mencatat angka kematian akibat Covid-19 tertinggi dengan 1,078,018 kes.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2022 @ 7:02 AM