Hasni Mohammad melambai ke arah perwakilan yang hadir pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Pontian di Dewan Muafakat Taman Saujana, Pontian. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Hasni Mohammad melambai ke arah perwakilan yang hadir pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Pontian di Dewan Muafakat Taman Saujana, Pontian. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mohamed Farid Noh


Pontian: Barisan Nasional (BN) Johor yakin mampu memenangi antara 16 hingga 20 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Pengerusi BN Johor Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, keyakinan itu berdasarkan senarai calon yang dikemukakan setiap bahagian negeri ini.

"Peluang untuk kita (BN Johor) menang antara 16 hingga 20 kerusi itu cerah dengan senarai dikemukakan bahagian-bahagian.

"Ia kerana bahagian-bahagian tidak hanya kemukakan nama calon mengikut jawatan di bahagian, namun mereka turut kenal pasti dan senaraikan tokoh-tokoh bukan hanya dalam kalangan pemegang jawatan, malah ahli Umno secara keseluruhan di bahagian.

"Jadi peluang kita untuk capai kemenangan di 16 hingga 20 kerusi Parlimen daripada 26 kerusi yang ada bukan mustahil," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Wanita Umno Bahagian Pontian, di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Timbalan Ketua Bahagian Umno Pontian.

Pada 17 Ogos lalu, Barisan Nasional dilaporkan meletakkan sasaran untuk Johor memenangi 20 kerusi Parlimen daripada 26 yang dipertandingkan pada PRU-15 nanti.

Timbalan Pengerusinya Datuk Seri Mohamad Hasan, dilaporkan berkata, sasaran itu perlu dipenuhi BN Johor bagi membolehkan ia menjadi penyumbang utama kerusi bagi menubuhkan Kerajaan Pusat yang kukuh.

Mengulas lanjut mengenai senarai calon Parlimen Johor, Hasni yang juga Pengerusi Umno Johor berkata, senarai pencalonan itu sudah dihantar kepada ibu pejabat.

"Senarai sudah siap dan dihantar untuk dicadangkan kepada jawatankuasa khas, namun saya akan buat pembentangan sejurus Parlimen dibubarkan nanti.

"Saya rasa tentu ada kejutan nanti (senarai calon Parlimen Johor) kerana sebanyak 60 peratus dikemukakan adalah muka baharu. Sudah tentu akan berlaku kejutan," katanya.

Ditanya desas desus beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Pontian, Hasni bagaimanapun memilih untuk mengunci mulut.

"Pertamanya, perlu memahami konteks kenapa saya bertanding di Parlimen. Ia adalah kenyataan dibuat pucuk pimpinan sewaktu selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, tempoh hari.

"Di mana saya bertanding atau siapa bertanding di Pontian ia akan melalui proses yang sama juga iaitu ia perlu dibentangkan kepada jawatankuasa khas dahulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 6:37 PM