MANGSA banjir dipindahkan ke PPS SMK Sri Gading. FOTO Essa Abu Yamin
MANGSA banjir dipindahkan ke PPS SMK Sri Gading. FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: "Air banjir masuk ke dalam rumah sangat cepat, ketika sedar dari tidur air sudah naik hingga paras betis," kata Suminah Kochong, 71, mangsa banjir kilat di Kampung Sri Gading dekat sini, hari ini.

Suminah berkata, dia tersedar dari tidurnya apabila bekalan elektrik terputus dan keadaan di dalam rumah begitu gelap.

"Apabila turun dari katil, kaki saya basah, ingatkan bermimpi, rupa-rupanya rumah saya sudah dimasuki air banjir.

"Dalam keadaan gelap gelita, berbekalkan lampu suluh telefon bimbit saya mencari jalan keluar untuk menyelamatkan diri.

"Saya tinggal di rumah seorang diri kerana anak-anak duduk berjauhan menyebabkan saya panik," katanya.

Menurut Suminah, kebiasaannya dia tidur di ruang tamu, tetapi pada kejadian berkenaan dia bernasib baik kerana tidur di dalam bilik, jika tidak nyawanya turut melayang akibat bencana itu.

"Saya bersyukur nyawa saya masih selamat dan berterima kasih kepada pihak berkuasa yang datang menyelamatkan saya di rumah," katanya.

Seorang lagi mangsa banjir, Ismadi Padimin, 46, berkata, anaknya mengejutkan dia yang sedang tidur memaklumkan rumah sudah dinaiki air pada 2 pagi.

"Saya tidak berfikir lama terus mengejutkan isteri dan tiga lagi anak untuk menyelamatkan diri kerana air sudah masuk ke dalam rumah begitu cepat.

"Ketika itu saya dan isteri hanya sempat menyelamatkan dokumen penting sahaja dan tidak sempat menyelamatkan barangan berharga di dalam rumah," katanya.

Katanya, kejadian banjir kali ini agak teruk walaupun hujan sudah reda keadaan air banjir semakin naik disebabkan pertembungan dengan fenomena air pasang besar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gading dekat sini dibuka bagi menempatkan 46 orang daripada 12 keluarga mangsa banjir hari ini.

"Kejadian banjir kilat membabitkan empat kawasan iaitu di Taman Sri Panchor, Kampung Sengkuang, Kampung Baru Sri Gading dan Pekan Seri Gading.

"Usaha membantu memindah mangsa sedang dijalankan," katanya ketika sidang media selepas melawat ke PPS SMK Sri Gading, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 5:52 PM