Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Sekurang-kurangnya RM3 juta setahun dibelanjakan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Jabatan Pertanian bagi memperkukuh Program Pengurusan Perosak dan Penyakit Tanaman.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, Jabatan Pertanian sebahagian daripada Organisasi Perlindungan Tumbuhan Kebangsaan, sentiasa berusaha memastikan pelaksanaan biosekuriti tanaman dan tumbuhan menjadi keutamaan ke arah pertanian yang mampan.

"Peruntukan pembangunan MAFI melalui Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan RMK12 membabitkan pelbagai program, termasuk penambahbaikan sistem kemudahan import dan eksport bagi memenuhi pematuhan piawaian sanitasi dan fitosanitasi antarabangsa.

"Ini bagi memastikan sistem biosekuriti negara sentiasa tersedia untuk melindungi sektor pertanian dan biodiversiti negara daripada kemasukan dan kemerebakan perosak serta penyakit tanaman," katanya pada Simposium Biosekuriti Tumbuhan 2022 di sini, tadi.

Dalam pada itu Ronald berkata, penguatkuasaan akta dan peraturan berkaitan juga memainkan peranan penting dalam mengawal kemasukan perosak invasif ke dalam negara.

Selain itu menurutnya, semua agensi di bawah MAFI sudah diarah bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan ketika Monsun Timur Laut tahun ini yang dijangka bermula November ini hingga Mac depan.

Menurutnya, tumpuan akan diberikan kepada usaha memastikan aspek keselamatan makanan selain bantuan dapat disalurkan kepada mangsa yang terjejas banjir.

Katanya, banjir antara ancaman tahunan yang sering dihadapi dalam sektor agromakanan sama ada tumbuhan, ternakan dan sebagainya.

"Banjir akan memberi impak kepada tanaman dan ternakan serta agromakanan secara keseluruhannya.

"Memang kita tidak boleh menghalang daripada berlaku, namun agensi bawah MAFI termasuk di peringkat negeri sudah diarah bersiap sedia dari segala aspek untuk menghadapi segala kemungkinan berlakunya banjir bagi mengurangkan impak daripada kejadian itu nanti.

"Antara persiapan termasuk mengalihkan ternakan ke kawasan selamat selain memastikan aspek keselamatan makanan untuk mangsa banjir," katanya.

Ronald Kiandee (tiga dari kanan)  tertarik dengan tanaman mengunakan kaedah hidroponik ketika melawat ruang pameran pada program Simposium Biosekruti Tumbuhan tahun 2022,  hari ini. FOTO BERNAMA
Ronald Kiandee (tiga dari kanan) tertarik dengan tanaman mengunakan kaedah hidroponik ketika melawat ruang pameran pada program Simposium Biosekruti Tumbuhan tahun 2022, hari ini. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2022 @ 5:29 PM