RONALD Kiandee.
RONALD Kiandee.
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) akan terus memainkan peranan penting dalam melaksanakan Bajet 2022 secara efektif.

Ia seterusnya dapat memastikan kelangsungan sektor agromakanan di setiap peringkat rantaian makanan supaya setiap rakyat memperoleh bekalan makanan yang mencukupi dan berkhasiat.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, secara umumnya, kesemua inisiatif yang diumumkan oleh kerajaan melalui Bajet 2022 sudah dijajarkan kepada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-2) dan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang dilancarkan 25 Oktober lalu.

"Bajet 2022 turut merangkumi pelbagai bantuan, inisiatif strategik serta bersasar. Ia membantu seluruh rakyat sepanjang tempoh pemulihan ekonomi, termasuk sektor pertanian dan industri makanan.

"Walaupun negara masih mengharungi pandemik Covid-19, sektor agromakanan mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan dengan kadar pertumbuhan 2.3 peratus pada 2020.

"Ia diunjur akan berkembang pada kadar 4.3 peratus pada tahun ini melalui inisiatif dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) supaya tahap sekuriti makanan terus terjamin bagi Keluarga Malaysia," katanya pada kenyataan hari ini.

Mengulas berkaitan bajet yang diterima kementeriannya, Ronald berkata, kerajaan memperuntuk RM4.82 bilion dengan perbelanjaan mengurus (OE) ialah RM3.28 bilion dan perbelanjaan pembangunan (DE) pula RM1.54 bilion.

"Di bawah OE, Mafi menerima RM1.7 bilion bagi pemberian subsidi dan insentif untuk industri pertanian serta perikanan untuk 2022.

"Antaranya, RM1.5 bilion bagi subsidi benih, baja, harga dan pengeluaran padi termasuk subsidi baja padi huma sebanyak RM40 juta," katanya.

Ronald berkata, pihaknya juga memperkenalkan empat inisiatif bagi meningkatkan jaminan bekalan makanan berjumlah RM120 juta.

Ia adalah projek Jaminan Bekalan Makanan membabitkan pelbagai negeri seperti Pembangunan Industri Akuakultur dan Estet Kerang-Kerangan di Johor.

"Selain itu ialah mengadakan Program Pemantapan Jaminan Bekalan Makanan Negara.

"Ia bagi menyediakan kemudahan logistik dan pusat penyimpanan stok bekalan makanan dan hasil pertanian segar berteknologi tinggi untuk petani serta pengusaha agromakanan," katanya.

Seterusnya melaksanakan Program Bantuan Insentif Makanan Ternakan Ruminan melalui Skim Harga Bersubsidi Dedak Isi Rong Sawit bagi membolehkan penternak kecil ruminan mendapatkan bekalan makanan ternakan dengan harga lebih murah selaras dengan konsep ekonomi kitaran.

Terakhir ialah mengadakan Program Galakan Usahawan Tekno PKS bagi meningkatkan hasil pengeluaran tanaman dan pemprosesan makanan melalui aplikasi teknologi untuk manfaat 140 usahawan tani serta program.

"Inisiatif ini akan meningkatkan sekuriti makanan negara melalui pengurangan kebergantungan terhadap import, khususnya makanan ternakan, selain meningkatkan nilai tambah dan kecekapan rantaian nilai agromakanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 2:41 PM