Ronald Kiandee
Ronald Kiandee

Jelebu: Sebanyak RM100 juta daripada RM4.2 bilion belanjawan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) tahun hadapan akan diperuntukkan untuk pelbagai jenis bantuan bagi meringankan beban pengusaha agromakanan seluruh negara yang terjejas banjir.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, peruntukan di bawah 'Dana Bangkit Semula Keluarga Agro' itu akan diagihkan dalam masa terdekat kepada pengusaha yang terbabit antara lain melalui Jabatan Perikanan, Jabatan Veterinar dan Jabatan Pertanian.

Beliau berkata, bantuan diberikan dalam bentuk peralatan pertanian dan penternakan seperti mesin, tangki air dan dana Agrobank diharap, selain meringankan beban pengusaha terjejas, ia juga mampu membangunkan semula sektor agromakanan negara.

"Banjir ini menyebabkan kerosakan yang besar dan isu bekalan dan sekuriti makanan keutamaan Mafi. Ini antara langkah proaktif diambil Mafi.

"Jadi peruntukan digunakan untuk membangunkan semula sektor ini termasuk kepada agropereneur muda yang terkesan selain program komuniti, pertanian organik dan agropelancongan yang dikelola Mafi," katanya selepas meninjau ladang dan kolam ternakan yang terkesan akibat banjir di sini, kelmarin.

Beliau berkata, sektor agromakanan negara, setakat ini, mencatatkan kerugian sebanyak RM63 juta membabitkan 4,700 pengusaha susulan banjir dan jumlah itu dijangka bertambah berdasarkan data menyeluruh daripada jabatan dan agensi di bawah Mafi.

Bagaimanapun, Dr Ronald memberi jaminan bekalan makanan negara, setakat ini, mencukupi dan bersedia menambah kuota import terutama bekalan beras bagi menampung keperluan rakyat sekiranya berlaku kekurangan sumber makanan.

"Setakat ini negara tak berdepan masalah kekurangan makanan dan Mafi memantau kesan banjir bukan sahaja terhadap bekalan beras tapi sayur dan daging, sebab itu kita nak mereka bangunkan semula perusahaan terjejas itu," katanya.

Beliau berkata, sektor agromakanan juga mendapat manfaat daripada Bantuan Banjir Keluarga Malaysia bernilai RM1.4 bilion dan Mafi akan menyelaras data kerugian bagi memastikan mangsa banjir di bawah sektor itu mendapat bantuan sewajarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 7:01 AM