Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Dasar Bioteknologi Negara (DBN 2.0) akan menumpu kepada tiga tunjang utama iaitu Bioteknologi Pertanian dan Jaminan Makanan; Penjagaan Kesihatan dan Kesejahteraan serta Bioteknologi Perindustrian dan Ekonomi Kitaran.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selaras dengan bidang tumpuan bioteknologi pertanian dan jaminan makanan, usaha kerajaan akan dipertingkatkan dalam menggunakan sumber asli tempatan secara mampan untuk input pertanian, ternakan dan hasil marin, serta akuakultur bernilai tinggi.

"Ekosistem makanan masa depan dan produk bernilai tinggi dengan menggunakan teknologi baharu serta terkini akan dibangunkan, seperti superfood dan penghasilan makanan baharu yang lebih lestari.

"Bioteknologi turut memainkan peranan penting bagi sekuriti kesihatan negara untuk mengatasi penyakit berjangkit dan penyakit tidak berjangkit.

"DBN 2.0 bakal memacu momentum yang telah digariskan di bawah Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021 hingga 2030 untuk mentransformasikan Malaysia daripada negara pengguna teknologi kepada negara pembangun teknologi," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran DBN 2.0 di World Trade Centre (WTC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (Mosti) Datuk Seri Dr Adham Baba.

ISMAIL Sabri (tiga dari kanan) melihat buku Dasar Bioteknologi Negara 2.0 yang dilancarkan hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
ISMAIL Sabri (tiga dari kanan) melihat buku Dasar Bioteknologi Negara 2.0 yang dilancarkan hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.

Menurutnya, DBN 2.0 yang tempohnya sehingga 2030 diberi aspirasi baharu dengan Mosti akan terus menjalin kerjasama erat bersama pihak berkepentingan bagi menjayakan lima sasaran utama.

Perdana Menteri berkata, sasaran itu adalah 30 peratus syarikat Bionexus ke peringkat global dan 70 peratus syarikat Bionexus peringkat tempatan kekal aktif serta sokongan kepada syarikat-syarikat berkenaan yang berpotensi menjadi syarikat berstatus unicorn.

"Kerajaan dalam konteks ini menyasarkan tiga syarikat bioinovasi berstatus unicorn menjelang 2030," katanya menambah pemerkasaan institut dan institusi serta tokoh penyelidik bioteknologi tempatan bertaraf dunia turut menjadi sasaran utama menerusi DBN 2.0.

Syarikat unicorn merujuk kepada syarikat pemula niaga persendirian yang mempunyai nilai melebihi US$1 bilion.

Selain itu, beliau berkata DBN 2.0 menyasarkan lima peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) oleh syarikat-syarikat bioteknologi serta 80 peratus graduan bioteknologi yang diiktiraf melalui program pentauliahan mikro dan 20 peratus graduan bioteknologi dalam program pasca siswazah.

Terdahulu beliau mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM7 juta yang mana RM5 juta kepada Mosti, manakala RM2 juta lagi buat penganjuran Bio Malaysia yang dijangka diadakan tahun depan bagi menarik lebih ramai pemain industri serta pelabur asing tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2022 @ 6:45 PM