Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Projek pembangunan vaksin dalam negara di bawah Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) kini memasuki peringkat pra ujian klinikal terhadap haiwan.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, usaha dan persediaan kini dilakukan untuk memastikan syarat pembuatan dalam negara mematuhi serta mengikut kehendak Amalan Pengilangan Baik (GMP).

Beliau berkata, pakar tempatan di peringkat universiti seperti Institut Penyelidikan dan Perubatan (IMR) juga sudah membangunkan teknologi Messenger Asid Ribonukleik atau mRNA.

"Status terkini, kita sudah mempelbagaikan platform pembangunan vaksin.

"Kita mengambil maklum dua kaedah dapat digunakan iaitu melalui teknologi 'transfer' (pemindahan) dari luar negara dan yang kedua bangunkan platform kita sendiri.

"Platform kita bangunkan melalui ' virus 'incubated' (inkubasi virus)," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Dasar Bioteknologi Negara 2.0 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

DR Adham Baba pada sidang media selepas pelancaran Pelancaran Dasar Teknologi Negara 2.0 (DBN 2.0). FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
DR Adham Baba pada sidang media selepas pelancaran Pelancaran Dasar Teknologi Negara 2.0 (DBN 2.0). FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.

Majlis disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Terdahulu, Dr Adham dipetik berkata, Mosti dalam proses menjalankan dua ujian klinikal terhadap vaksin yang dihasilkan dalam negara melalui penubuhan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI).

Beliau dilaporkan berkata, dua vaksin itu ialah vaksin kanser kepala dan leher atau 'nasopharyngeal cancer' serta vaksin kolera, yang masing-masing akan melalui ujian klinikal di United Kingdom dan India, tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2022 @ 6:55 PM