FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu sentiasa melakukan pemantauan dan pemeriksaan di setiap peringkat pengedaran bagi memastikan tiada aktiviti pencatutan atau manipulasi harga.

Pengarahnya Saharuddin Mohd Kia berkata, pihaknya turut memberi jaminan akan menyiasat setiap aduan kenaikan harga secara terperinci di setiap peringkat pengedaran bermula daripada pengeluar, pemborong, pengedar dan peruncit bagi melihat punca berlakunya kenaikan harga.

Beliau berkata, KPDNHEP juga sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) bagi memastikan bekalan dan harga barangan kekal stabil.

"Di pihak KPDNHEP, kita memang sentiasa melakukan pemantauan daripada sudut harga bagi mengelak berlakunya aktiviti pencatutan.

"Jika berlaku kenaikan disebabkan bekalan berkurangan dan keadaan cuaca, kita faham kerana ia sedikit sebanyak akan mempengaruhi harga dan bekalan seperti keadaan yang berlaku ketika musim tengkujuh yang akan beri kesan kepada harga.

"Tetapi sekiranya ada pihak sengaja mengambil kesempatan menaikkan harga, kita boleh ambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Saharuddin berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan perkembangan semasa harga bekalan keperluan harian terutama jika berlaku kenaikan harga.

Beliau berkata, pihaknya memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat menerusi saluran aduan KPDNHEP Terengganu sekiranya berlaku kenaikan harga bagi membolehkan tindakan mengikut akta sedia ada dikenakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2022 @ 5:15 PM