RAMLI (tengah, baju putih) menanam anak pokok sebagai simbolik perasmian program AmanahRaya 101 Legacy Trees. FOTO ihsan AmanahRaya
RAMLI (tengah, baju putih) menanam anak pokok sebagai simbolik perasmian program AmanahRaya 101 Legacy Trees. FOTO ihsan AmanahRaya
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) melaksanakan Program 'AmanahRaya 101 Legacy Trees' dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) sempena 101 tahun penubuhannya di Cameron Highlands, Pahang, semalam.

Pengerusi Amanah Raya Berhad, Datuk Ramli Mohd Nor berkata, penanaman 101 anak pokok kombinasi pelbagai spesis itu adalah simbolik kepada usia penubuhan AmanahRaya yang menjangkau 101 tahun.

"Antara anak pokok yang ditanam di Hutan Simpan Ulu Bertam itu ialah Eucalyptus, damar minyak dan cempaka hutan.

"Selain itu, aktiviti ini dilaksanakan bagi menyokong Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok (2021-2025).

"Program ini dilancarkan serentak seluruh negeri pada 5 Januari tahun lalu dengan mensasarkan penanaman 100 juta pokok sepanjang tempoh berkenaan," katanya dalam ucapan perasmian program itu, yang turut dihadiri, wakil JPNP, Rosilan Said, semalam.

Ramli berkata, pihaknya sentiasa komited dalam usaha menjaga alam semula jadi khususnya dalam pelestarian ekosistem untuk warisan masa hadapan selaras dengan objektif teras AmanahRaya iaitu perancangan pewarisan.

"Melalui inisiatif ini, warga AmanahRaya didedahkan dengan ilmu penanaman pokok yang betul hasil bimbingan Jabatan Hutan Daerah Cameron Highlands.

"Ini dilakukan bertujuan memastikan 101 pokok yang ditanam dapat memberi manfaat kepada masyarakat terutamanya menangani kesan perubahan iklim selain dapat mengurangkan risiko bencana alam," katanya.

Seramai 44 pegawai Ibu Pejabat dan Cawangan AmanahRaya menyertai serta menyumbang tenaga bagi menjayakan program berkenaan selain 30 pegawai JPNP dan Jabatan Hutan Daerah Cameron Highlands.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2022 @ 3:44 PM