Anggota PGA mengawal kawasan ceroboh Hutan Simpan Batu Talam pada Operasi Pamah. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Anggota PGA mengawal kawasan ceroboh Hutan Simpan Batu Talam pada Operasi Pamah. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Raub: Lebih 85 hektar pokok di kawasan kebun durian Musang King yang ditanam secara haram dalam Hutan Simpan Batu Talam, di sini, sudah ditebang sejak lima hari lalu.

Keseluruhan kawasan yang diceroboh untuk penanaman pokok Musang King adalah seluas lebih 101 hektar.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Nor Azirim Ahmad berkata, kehadiran lebih ramai penebang terdiri daripada kakitangan JPNP disetiap daerah di negeri ini melancarkan kerja memusnahkan pokok durian.

Menurutnya, hampir 100 kakitangan JPNP yang menyertai Operasi Pamah dan mereka dibantu anggota Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) yang menjalankan kerja menebang secara berterusan menggunakan mesin gergaji berantai.

Katanya, aktiviti menebang sebenarnya dilakukan hanya dalam masa lima hari sahaja kerana tindakan provokasi selain jambatan yang dirosakkan menyebabkan kerja menebang tergendala.

"Aktiviti menebang mula berjalan lancar pada Selasa lalu terutama selepas kehadiran anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertanggungjawab mengawal dalam kawasan Hutan Simpan Batu Talam termasuk mengadakan dua sekatan jalan raya (SJR) di laluan masuk ke hutan simpan berkenaan.

"Faktor hujan pada sebelah petang selain angin kencang turut menjejaskan kelancaran aktiviti menebang yang jadual asal mengambil masa sebulan untuk siapkan," katanya, di sini hari ini.

Katanya, aktiviti menebang pokok durian Musang King dijangka siap sepenuhnya minggu depan terutama apabila semua jadual bertugas kini berjalan lancar mengikut apa yang dirancang.

Nor Azirim berkata, selepas aktiviti menebang selesai sepenuhnya kerja menanam pokok hutan akan dilakukan segera.

Katanya, beberapa spesies pokok hutan sudah dikenal untuk penanaman semula itu antaranya meranti temak nipis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 8:50 AM