TUAN Ramli dilantik Pengerusi AmanahRaya bermula hari ini.
TUAN Ramli dilantik Pengerusi AmanahRaya bermula hari ini.
Sri Ayu Kartika Amri


AMANAH Raya Berhad (AmanahRaya) mengumumkan pelantikan Tuan Ramli Datuk Mohd Nor sebagai Pengerusi syarikat bermula hari ini menggantikan Datuk Mohd Nasir Ali yang tamat perkhidmatannya pada 10 Mei 2020.

Tuan Ramli pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dengan Kepujian dari Universiti Terbuka Malaysia dan pada ketika ini beliau sedang mengikuti program di peringkat Falsafah Kedoktoran dalam bidang Perniagaan dari Universiti Antarabangsa Malaya-Wales.

Antara pencapaian akademik beliau yang lain adalah Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kelas Pertama) dalam bidang Pengajian Perniagaan dari University of East London, Diploma Sains Kepolisan dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Diploma Pentadbiran Awam dari Universiti Teknologi Mara, Certificate in Criminal Justice Education dari University of Virginia, USA dan beliau juga adalah graduan Federal Bureau of Investigation (FBI) National Academy bagi sesi ke- 244,di Quantico, Virginia USA.

Pengarah Urusan AmanahRaya, Adenan Md Yusof berkata mewakili pengurusan AmanahRaya amat mengalu-alukan kedatangan Tuan Ramli.

"Kami percaya dengan pengalaman dan pencapaian cemerlang Tuan Ramli, AmanahRaya akan lebih maju dan mencapai kejayaan yang lebih membanggakan," katanya menerusi kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Tuan Ramli dalam perkhidmatan awam selama 38 tahun bermula sejak 1980 di mana beliau pada ketika itu berkhidmat sebagai Pegawai Trafik, Lembaga Pelabuhan Johor.

Beliau seterusnya berkhidmat dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bermula pada 1984.

Selama 34 tahun dalam PDRM beliau telah menunjukkan kecemerlangan dalam melaksanakan tugas-tugas kepolisan dan beliau telah bersara sebagai 'Assistant Commissioner' pada Oktober 2018.

Selepas bersara, Tuan Ramli bergiat aktif dalam khidmat awam apabila beliau dilantik sebagai Ahli Parlimen Cameron Highlands pada Januari 2019.

Beliau terbabit dalam berbagai persatuan dan menjalankan kerja sosial serta menyandang jawatan penting dalam persatuan bukan kerajaan seperti Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia dan menjadi sumber rujukan penting dalam Badan Penasihat Komuniti Orang Asli di Cameron Highlands.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 5:03 PM