FOTO Hiasan Arkib NSTP
FOTO Hiasan Arkib NSTP
Hairulazim Mahmud


MENTERI Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dijangka menang selesa dalam persaingan jawatan Naib Presiden PAS pada pemilihan sempena muktamar parti itu ke-65 dari 21 hingga 23 Jun ini.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, ia berikutan prestasi cemerlang beliau selaku ketua kerajaan negeri dan Ketua Lajnah Pilihan Raya PAS Pusat.

“Muktamar 2019 ini, tumpuan utamanya adalah cabaran Ahmad Samsuri terhadap tiga penyandang Naib Presiden iaitu Ustaz Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Datuk Ir Iskandar Abdul Samad,” katanya hari ini.

Sebelum ini Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengekalkan jawatan masing-masing selepas pencalonan bagi pemilihan parti itu ditutup.

Sementara semua jawatan utama Dewan Ulama, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda menang tanpa bertanding.

Seramai 37 calon layak bertanding untuk mengisi 18 jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Dalam pada itu Kamarul Zaman yang juga Pensyarah Kanan, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM berkata, pemilihan kali ini tidak sengit seperti mana lalu berikutan pindaan peraturan pemilihan iaitu sekurang-kurangnya 10 pencalonan diperlukan untuk layat bertanding berbanding dua pada tahun sebelumnya.

Sehubungan itu, katanya, hanya calon serius saja yang bertanding menjadikan bilangannya tidak seramai seperti sebelum ini kerana proses pencalonan sudah ditapis menjadikan yang berwibawa saja diterima.

Kamarul Zaman berkata, berkaitan isu yang dijangka hangat dibahaskan, muktamar kali ini dijangka menjadi medan untuk parti Islam itu memposisikan kedudukannya bagi menangani ketidaktentuan dalam suasana politik negara mutakhir ini.

“Ia mengambil kira kedudukan kerajaannya di Kelantan dan Terengganu, seterusnya mempersiapkan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

“Dengan lonjakan kemenangan yang diperolehi oleh kerjasama PAS-UMNO dalam tiga pilihan raya kecil di Semenanjung Malaysia, maka sudah tentulah muktamar ini juga dijadikan medan bagi membincangkan cara dan kaedah bagi memperkukuhkan lagi kerjasama ini, kerangka kerjasama yang boleh dipersetujui bersama dan perkara yang berkait dengannya,” katanya.

Katanya, pimpinan PAS perlu menggunakan muktamar itu bagi meyakinkan ahli dan penyokongnya mengenai keperluan meneruskan dan memantapkan kerjasamanya dengan UMNO.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2019 @ 5:32 PM