OUG Parklane. FOTO GOOGLE MAPS
OUG Parklane. FOTO GOOGLE MAPS
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seorang lelaki bertindak nekad dengan terjun dari tingkat 21 sebuah bangunan di OUG Parklane, di sini, semalam, dipercayai kerana selisih faham dengan teman wanitanya.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 10.32 malam tadi.

"Hasil siasatan awal dilakukan mendapati lelaki berusia 20-an itu terjun dari tingkat 21 sebelum terjatuh pada tingkat tujuh bangunan sama berhampiran kolam renang.

"Pemeriksaan dilakukan di lokasi kejadian mendapati tiada unsur-unsur yang mengaitkan dengan jenayah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amihizam berkata, kejadian itu dipercayai berpunca akibat selisih faham antara lelaki berkenaan dengan teman wanitanya tinggal bersama di salah satu unit di bangunan terbabit.

"Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil untuk memberi keterangan," katanya.

Sebarang maklumat berhubung kegiatan jenayah di daerah ini boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 9:05 PM