Datuk Ruslan Khalid
Datuk Ruslan Khalid
Oleh Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Polis Negeri Sembilan sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid berkata, pihaknya sudah mempunyai mekanisme bagi memastikan keamanan sepanjang tempoh pilihan raya itu nanti.

Katanya, polis sentiasa bersiap sedia dalam menjaga ketenteraman awam termasuk sekiranya diadakan pilihan raya pada bila-bila masa.

"Pasukan sentiasa dalam keadaan bersiap sedia dan latihan sudah dilakukan untuk memastikan ketenteraman awam dan keselamatan sekiranya pilihan raya diadakan pada bila-bila masa," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Taman Angkat Amanita peringkat Kontinjen Negeri Sembilan di Taman Serting Indah di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook.

Bercakap mengenai program berkenaan Ruslan berkata, golongan wanita terutamanya suri rumah tangga adalah perantara terbaik, lebih peka dan dapat mengenali individu sekeliling selain kehadiran orang baru di kawasan kejiranan kerana mereka lebih banyak masa berada di rumah.

Justeru katanya kerjasama mereka dalam menyampaikan maklumat akan dapat menangani jenayah seperti pecah rumah, rogol dan sebagainya.

"Selain itu, usaha ini mampu membina perhubungan yang baik sesama jiran dan anggota keselamatan sekali gus meningkatkan keyakinan dan kepercayaan kepada pihak polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2022 @ 12:21 PM