Oleh Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Polis Pulau Pinang bersiap sedia pada bila-bila untuk menghantar pegawai dan anggota bagi membantumangsa banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk A Thaiveegan berkata, segala bantuan termasuk menghantar pegawai dan anggota akan dilakukan segera sekiranya diminta berbuat demikian.

Beliau berkata, bantuan pegawai dan anggota itu perlu berikutan pertambahan mendadak bilangan mangsa banjir terutama di negeri Pantai Timur selain, Perlis dan Perak.

"Polis Pulau Pinang bersiap sedia pada bila-bila sekarang ini dan jumlah anggota yang akan dihantar bergantung kepada keadaan serta keperluan," katanya ketika ditemui dalam Ops Bersepadu sempena Hari Krismas di sini.

Dalam operasi membabitkan 73 pegawai dan 520 anggota terlibat dalam operasi lima jam berakhir kira-kira jam 3 Pagi tadi.

Thaiveegan berkata, rondaan dan kawalan sentiasa dipertingkatkan terutama di kawasan tumpuan pelancong seperti Batu Ferringhi, Padang Kota Lama selain di sekitar pusat bandar bagi memastikan sambutan perayaan itu berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Sehingga kini tiada kejadian dilaporkan berlaku dan semua lokasi berada dalam keadaan selamat dan terjawab," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Disember 2014 @ 3:41 PM