TANGKAP layar foto tular
TANGKAP layar foto tular
BERNAMA

George Town: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) mendapati sebuah gerai makanan di Sungai Ara, dekat sini, yang tular sejak semalam berhubung dakwaan seorang peniaga Muslim mengambil bekalan nasi ayam dan itik daripada restoran bukan Islam, tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Pemangku Pengarah JHEAIPP, Mohd Hanif Omar @ Wahab, berkata pemeriksaan pihaknya di satu lagi cawangan gerai itu di pusat membeli belah di Persiaran Gurney di sini, juga tidak memiliki SPHM.

Katanya, gerai di Sungai Ara tidak dibuka dan cawangannya di Persiaran Gurney beroperasi.

Hasil siasatan JHEAIPP bersama Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mendapati makanan dimasak di cawangan Persiaran Gurney turut dibawa untuk dijual di gerai Sungai Ara, katanya dalam kenyataan, malam ini.

Mohd Hanif berkata pihaknya sudah menasihatkan dua lelaki pemilik gerai berkenaan memohon SPHM daripada JHEAIPP.

Katanya, siasatan terhadap restoran nasi ayam dan itik bukan Islam di Paya Terubong juga tidak memiliki SPHM.

"Pemilik gerai di Sungai Ara dan cawangan di Persiaran Gurney hanya menghantar makanan yang tidak habis dijual ke restoran Paya Terubong untuk diberi makan kepada anjing peliharaan pemilik premis berkenaan dan membasuh bekas-bekas serta peralatan makanan di sana," katanya.

Sejak semalam, tular video berdurasi dua minit 38 saat berhubung dua lelaki Melayu dilihat memasuki sebuah restoran bukan Islam di Paya Terubong dipercayai untuk mengambil nasi ayam dan menjualnya di gerai milik orang Melayu di Sungai Ara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2022 @ 10:29 PM