IDRIS Ahmad ketika ditemui pemberita pada program Jualan Amal di Markaz PAS  Sungai Tinggi, Terong, di sini, hari ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
IDRIS Ahmad ketika ditemui pemberita pada program Jualan Amal di Markaz PAS Sungai Tinggi, Terong, di sini, hari ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Bukit Gantang: Tiada keperluan bagi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membuat penyelarasan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mempermudahkan Perusahaan Mikro dan Kecil (PMK) termasuk premis menjual makanan mendapat pensijilan halal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata proses pensijilan halal sedia ada disifatkan mudah jika pemohonnya dalam keadaan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan ditetapkan pada tahap tinggi.

Beliau berkata, penyelarasan dengan PBT bagi mendapatkan pengiktirafan halal dikhuatiri membuka ruang seluasnya untuk berlaku ketidakpatuhan terhadap tuntutan SOP terbabit yang seharusnya dipenuhi bagi pengiktirafan itu.

"Takkanlah mentang-mentang kita ini pemilik PMK (orang) Islam maka kita nak bagi (lagi) mudah (dapatkan pengiktirafan halal) walaupun tidak mematuhi SOP dari sudut kebersihan. Jadi, kita tidak boleh memberinya sembarangan.

"Jika berlaku sesuatu kejadian, orang akan persalahkan JAKIM juga kerana mudah sangat berikan pengiktirafan halal," katanya kepada pemberita sewaktu ditemui pada program Jualan Amal di Markaz PAS Sungai Tinggi, Terong di sini, semalam.

Idris berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (Dewan Melayu) Khamis lalu yang menyarankan mengenai penyelarasan itu bagi menyokong usaha JAKIM memperkasa ekonomi halal melalui Dasar Halal Negara yang akan dimasukkan dalam Bajet 2023.

Ia urut merujuk kepada isu tular beberapa hari lalu mengenai pemilik dua premis menjual hidangan nasi ayam dan nasi itik di Sungai Ara, Bayan Lepas, Pulau Pinang yang disahkan tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Isu timbul apabila pekerja premis berkenaan dilihat memasuki sebuah restoran bukan Islam di Paya Terubong, Pulau Pinang kerana dikatakan untuk mengambil nasi ayam dan menjualnya di gerai pemilik berkenaan yang berbangsa Melayu di Sungai Ara.

Menurut Idris lagi, penyelarasan sedemikian tidak perlu kerana proses memohon sijil halal memang sedia mudah selain 'mampu milik' kerana permohonannya hanya mengambil masa selewat-lewatnya 30 hari untuk diproses sekiranya segala penetapan dipatuhi.

"Kadangkala JAKIM hanya perlukan masa 16 atau 17 hari untuk memproses permohonan dengan syarat pemohon benar mengikut tuntutan dengan bayaran RM100 setahun untuk restoran yang tiada rangkaian manakala RM1,000 setahun untuk restoran mempunyai rangkaian.

"Apa yang menjadikan proses mendapatkan pensijilan halal agak lama dan dianggap susah, adalah kerana pemilik perniagaan itu sendiri tidak mengikut tuntutan yang perlu dipenuhi, menyebabkan kita akan sentiasa membalas (maklumkan) balik apa yang perlu mereka perbetulkan," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 1:46 PM