Keadaan motosikal Benelli yang terbabit kemalangan hingga meragut nyawa penungganggnya dalam kejadian di Kilometer 2 Jalan Batang Kali - Genting Highlands, hari ini. FOTO IHSAN PEMBACA
Keadaan motosikal Benelli yang terbabit kemalangan hingga meragut nyawa penungganggnya dalam kejadian di Kilometer 2 Jalan Batang Kali - Genting Highlands, hari ini. FOTO IHSAN PEMBACA
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal maut sejurus motosikal berkuasa tinggi ditunggang merempuh sebuah kereta di Kilometer 2, Jalan Batang Kali - Genting Highlands, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi tadi, mangsa berusia 31 tahun bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya meninggal dunia di lokasi kejadian akibat pendarahan dalaman.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu kereta model BMW dan motosikal model Benelli.

"Siasatan awal mendapati mangsa dari Petaling Jaya menghala ke Genting Highlands.

"Setibanya di lokasi selekoh tajam, mangsa dipercayai termasuk ke laluan bertentangan dan melanggar kereta BMW dipandu seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun," katanya.

Arsad berkata, akibat kemalangan itu mangsa maut di tempat kejadian manakala pemandu BMW tidak cedera.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil untuk membantu polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2022 @ 3:01 PM