KEADAAN motosikal ditunggang anggota tentera yang maut. FOTO MD FUZi ABD LATEH.
KEADAAN motosikal ditunggang anggota tentera yang maut. FOTO MD FUZi ABD LATEH.
Md Fuzi Abd Lateh


SEORANG tentera yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 8, Jalan Sungai Choh – Bukit Beruntung di Hulu Selangor, jam 6.10 pagi tadi.

Mangsa, Jamilul Firdaus, 34, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dilapor dilanggar pemandu kereta jenis Honda Accord yang datangnya dari arah bertentangan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Bukit Sentosa ke tempat kerjanya di Markas Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) di Kem Batu Kentomen, Kuala Lumpur.

Katanya, secara tiba-tiba kereta yang dipandu lelaki berusia 22 tahun dari Jalan Dahlia terbabas lalu masuk ke laluan mangsa dan merempuhnya.

"Mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian. Manakala pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Pemandu kereta terbabit kini ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Trafik Daerah Hulu Selangor untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Arsad berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan memberitahu, permohonan reman suspek akan dilakukan di Mahkamah Seksyen Kuala Kubu Bharu, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 4:20 PM