Siti Aminah Mohd Yusof

Georgetown: Usahawan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lapan pertuduhan menipu seorang lelaki bernilai RM1,895,020 tiga tahun lalu.

Tertuduh, Chan Eng Leong, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Abdul Karim dan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Dalam kesemua pertuduhan, tertuduh dikatakan memperdaya pengadu yang merupakan pengarah syarikat Global Tobacco Manufacturer (International) Sdn Bhd bahawa dia boleh menyelesaikan kes cukai rokok dengan pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Tertuduh secara curang turut mendorong pengadu memindahkan saham syarikatnya secara berperingkat antara bulan April, Jun dan Ogos tahun 2019 dengan nilai keseluruhan RM1,895,020.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shahrezal Mohd Shukri, Mohammad Nazri Abdul Rahim, Teh Li Siew dan Chew Qi Wei manakala tertuduh diwakili peguam, RSN Rayer serta R Arvend.

Terdahulu pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM100,000 bagi setiap pertuduhan yang dikenakan.

Begitupun, Rayer memohon jumlah itu dikurangkan memandangkan tertuduh hadir secara sukarela tidak berniat melarikan diri dan ingin membersihkan namanya selain mempunyai tiga anak yang masih bersekolah dan menuntut di universiti.

TERTUDUH di Mahkamah Sesyen Georgetown. FOTO Mikail Ong
TERTUDUH di Mahkamah Sesyen Georgetown. FOTO Mikail Ong

Beliau memaklumkan, anak guamnya membeli syarikat pengadu secara sah dan terlebih dahulu mengemukakan kes sivil terhadap lelaki berusia 39 tahun itu.

Katanya, sebelum ini, tertuduh turut diarahkan membayar jaminan sebanyak RM450,000 bersabit dua lagi kes bersangkutan yang sedang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di Butterworth dekat sini.

Mahkamah menetapkan jaminan berjumlah RM230,000 selepas Hakim Mohammad Khalid dan Hakim Mazdi masing-masing bersetuju mengurangkan jaminan kepada RM100,000 dan RM130,000.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh menjelaskan sebahagian bayaran pada hari ini dan baki selebihnya dilunaskan pada Isnin.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis pada setiap bulan sehingga kesnya selesai selain menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu pengadu serta saksi sepanjang perbicaraan berlangsung.

Kedua-dua hakim turut menetapkan27 September 2022 sebagai tarikh sebutan kes dan penyerahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 2:32 PM