BERNAMA

PENGARAH syarikat teknologi maklumat hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Georgetown atas pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan wang deposit berjumlah lebih RM4 juta daripada seorang lelaki.

S Hariharan, 42, didakwa menerima deposit daripada R Karunamoorthy, 47, berjumlah RM4.95 juta bagi tujuan pelaburan tanpa suatu lesen yang sah antara 2.55 petang, 25 Mac 2016 hingga 3.53 petang, 1 Mac 2018 di Maybank Lebuh Union, Georgetown.

Lelaki itu yang lengkap bersut didakwa mengikut Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137(2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya S. Preeya Darrsini memohon jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Peguam P Vijay Esvaran yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jaminan ke atas anak guamnya kepada RM10,000 atas alasan tertuduh memberikan kerjasama sepanjang siasatan dilakukan.

"Selain itu, tertuduh memiliki premis perniagaan di Bangsar dan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) operasi perniagaan tertuduh turut terjejas dan tidak mampu membayar sewa premisnya sebanyak RM3,000 selama lima bulan," katanya.

Hakim Mazdi Abdul Hamid kemudian membenarkan Hariharan diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri di balai polis berdekatan sekali sebulan.

Mahkamah menetapkan 28 Ogos ini untuk sebutan kes.

TERTUDUH (kanan) ditemani P Vijay Esvaren (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Georgetown. FOTO Danial Saad
TERTUDUH (kanan) ditemani P Vijay Esvaren (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Georgetown. FOTO Danial Saad

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 1:36 PM