GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

Kuala Lumpur: Bekalan air di kawasan yang terjejas berikutan henti tugas sementara Loji Rawatan Air Langat 2 (LRA Langat 2), semalam, dijangka pulih sepenuhnya, 8 malam ini.

Air Selangor dalam kenyataan berkata, 95 peratus sudah pulih bekalan air dan sehingga 10 pagi tadi, kawasan yang belum pulih adalah di Balakong, Bandar Sunway Semenyih, Bandar Teknologi Kajang, Taman Desa Mewah dan Taman Industri Desa Semenyih.

"Tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna," katanya.

Wilayah Kuala Lumpur pula membabitkan kawasan Bukit Permai Industri, Kampung Cheras Baru (Jalan 4-14 dan Jalan 38-52), Kampung Cheras Baru (Jalan 49), Pandan Bistari, Taman Bukit Pandan, Taman Bukit Permai, Taman Bukit Teratai, Taman Mawar, Taman Mega Jaya, Taman Melur, Taman Muda, Taman Pandan Mewah, Taman Putra, Taman Saga dan Taman Seraya.

Justeru, Air Selangor menyarankan para pengguna yang sudah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

Sebanyak 397 kawasan di Petaling Jaya, Kuala Lumpur dan Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air akibat henti tugas sementara Loji Rawatan Air Langat 2 (LRA Langat 2) berikutan insiden pencemaran bahan kimia di Sungai Semantan, Karak, Pahang akibat daripada kemalangan di Kilometer 75.9 Lebuhraya Karak-Bentong.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 11:44 AM