Shaharom Nizam Abd Manap.
Shaharom Nizam Abd Manap.
Oleh Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana bantuan pakej rangsangan ekonomi membabitkan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Kedah, hampir selesai dan hanya menunggu masa diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata pihaknya sudah memanggil EXCO terbabit bagi memberi keterangan pada 18 Julai lalu.

Katanya, sepanjang proses itu, EXCO terbabit memberi kerjasama penuh kepada Pegawai Penyiasat SPRM Kedah.

"Sehingga kini, seramai 161 saksi termasuk EXCO berkenaan sudah diambil keterangan. Laporan penuh hasil siasatan dijangka dihantar kepada pihak AGC minggu depan.

"Sama ada wujud kes atau tidak termasuk perkara berkaitan penyelewangan akan ditentukan pihak AGC selepas ini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pada 17 Jun lalu, Shaharom Nizam mengesahkan pihaknya sedang melakukan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana bantuan pakej rangsangan ekonomi yang dikaitkan dengan seorang EXCO Kedah.

Katanya, berdasarkan maklumat diperoleh pihaknya mengambil inisiatif menjalankan siasatan awal bagi mengesahkan sama ada terdapat isu pelanggaran undang-undang berkaitan bawah bidang kuasa SPRM.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika diminta mengulas perkara itu, turut meminta semua pihak menyerahkan kepada SPRM untuk melakukan tugas mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 4:30 PM