MOHD Nazlan
MOHD Nazlan
Ilah Hafiz Aziz


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan agensi penguatkuasaan itu terhadap kes Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali sudah pun selesai.

Memetik portal Free Malaysia Today (FMT), Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, butiran lanjut mengenai siasatan itu tidak boleh didedahkan, berikutan arahan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

"Kami sudah menyelesaikan siasatan kami. Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya tidak dapat mengumumkan arahan selanjutnya apa yang kami (akan) terima daripada AGC.

"Buat masa ini, saya tidak akan mengulas lanjut," katanya ketika ditemui pemberita di George Town, Pulau Pinang, hari ini.

Sebelum ini, kertas siasatan kes membabitkan Mohd Nazlan kini berada di SPRM selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) minta siasatan lanjut dilakukan.

Azam berkata, kertas siasatan itu pernah dihantar kepada AGC sebelum ini, sebelum ia dipulangkan untuk siasatan lanjut.

Beliau juga mengakui kertas siasatan itu sudah beberapa kali dihantar dan dikembalikan semula dan berkata, ia adalah proses normal membabitkan kertas siasatan.

Pada 21 Ogos lalu, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dilaporkan berkata, kertas siasatan kes membabitkan Mohd Nazlan tidak berada dengan AGC.

SPRM sebelum ini dilapor membuka kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan, susulan laporan polis menafikan tuduhan dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin mengenai dakwaan ada sejumlah wang yang tak dapat ditentukan punca dalam akaunnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 8:18 PM