Azrul Mahathir Aziz
Azrul Mahathir Aziz
Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pemaju digesa supaya turun padang bagi mengadakan sesi libat urus bagi cadangan pembinaan asrama warga asing di sekitar Teluk Kumbar di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayan Lepas Azrul Mahathir Aziz berkata, hasil dapatan 'Social Impact Assessment' (SIA), 'Traffic Impack Assessment' (TIA) dan lain-lain kajian yang sudah dibuat termasuk 'Environmental Impact Assessment' (EIA), juga perlu dibentangkan.

"Kerajaan negeri juga perlu menolak permohonan kebenaran merancang yang dipohon pemaju. Selain sudah beberapa kali gesaan itu disuarakan pada persidangan Dun Pulau Pinang, tiga siri bantahan terbuka juga sudah dibuat rakyat tempatan sebelum ini," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut Azrul Mahathir, beberapa memorandum rakyat sudah disampaikan kepada kerajaan negeri selain pertemuan namun hasilnya dilihat masih kabur.

"Hasil dapatan kajian dan cadangan mitigasi yang sudah disyaratkan kepada pemaju kepada rakyat setempat juga perlu diterang dan disertakan.

"Buka ruang ketelusan bagi bersuara, rakyat berhak dapatkan maklumat yang jelas dan mereka perlu diberi penjelasan sebelum ia diluluskan," katanya.

Terdahulu, kerajaan negeri dilapor bakal membina tiga asrama pekerja asing dengan yang di Sungai Batu berkeluasan 2.8 hektar manakala dua lagi di Teluk Kumbar berkeluasan 4.78 hektar dan 1.4 hektar.

Ia bakal menempatkan kira-kira 30,000 sehingga 50,000 pekerja sedangkan jumlah penduduk tempatan di situ hanya kira-kira 15,000.

Mengulas lanjut, Azrul Mahathir berkata, pihaknya menyambut baik keputusan bagi membatalkan pembinaan kuarters penginapan pekerja berpusat (CLQ) membabitkan tanah seluas 337 hektar di Bertam, Kepala Batas, baru-baru ini.

Walaupun tanah di Bertam digazetkan sebagai taman perindustrian, Azrul Mahathir berkata, perkara sebaliknya berlaku di Teluk Kumbar sehingga ada lot yang pada asalnya Zon Kediaman sudah dilingkung semula sebagai Zon Perniagaan.

"Terdapat kawasan yang luas di Bertam bagi membina tiga blok 10 tingkat namun sebaliknya di Teluk Kumbar yang sempit yang mahu dibina enam blok 28 tingkat selain membabitkan rizab pantai, ia sekali gus menyebabkan nelayan terkesan.

"Sebahagian tanah kerajaan di Teluk Kumbar turut diberi milikan kepada syarikat terbabit sedangkan tanah itu saya sudah cadangkan bagi pembinaan perumahan rakyat," katanya lagi.

Menerusi sidang media Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman baru-baru ini, beliau mengumumkan bahawa pemaju bersetuju membatalkan pembinaan CLQ berkenaan selepas mengambil kira pandangan pemegang taruh termasuk penduduk berjiran dan jabatan teknikal berkaitan.

Pemaju akan memfokuskan pembinaan kilang berteknologi tinggi dengan mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh jabatan teknikal dan PBT.

Menurut Azrul Mahathir, jika di Bertam, mungkin faktor utama kejatuhan pasaran hartanah menjadi elemen pembatalan.

Katanya, perkara sama juga perlu dilihat di Teluk Kumbar.

Beliau berkata, keadilan hak kehidupan yang selesa dan selamat perlu diperjuangkan kepada seramai 40,000 penduduk di situ.

"Paling teruk ialah kejatuhan keharmonian kehidupan warganya serta kebolehdayahuni seperti yang digagaskan di dalam 'Penang 2030'.

"Aset paling penting bagi sesebuah negeri atau negara adalah rakyatnya dan melebihi daripada segalanya," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 12:38 PM