BANTAHAN yang dilakukan penduduk pada 29 Mei lalu. FOTO arkib NSTP
BANTAHAN yang dilakukan penduduk pada 29 Mei lalu. FOTO arkib NSTP
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Bantahan yang dilakukan penduduk sekitar Bertam, Kepala Batas berhubung cadangan pembinaan kuarters penginapan pekerja berpusat (CLQ) menemui hasil apabila projek berkenaan dibatalkan pihak pemaju.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, pemaju bersetuju membatalkan pembinaan asrama warga asing seperti yang terkandung dalam pelan terdahulu.

Menurutnya, ia selepas mengambil kira pandangan pemegang taruh termasuk penduduk berjiran dan jabatan teknikal terbabit.

"Dalam hal ini, pemaju akan memfokuskan pembinaan kilang berteknologi tinggi dengan mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh jabatan-jabatan teknikal dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Jawatankuasa Pemantau Penang Technology Park akan terus memantau pelaksanaan projek itu bagi memastikannya dapat memenuhi hasrat kerajaan negeri," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, projek terbabit boleh memberi manfaat sepenuhnya kepada penduduk dan negeri di samping mengurangkan implikasi negatif yang mungkin dibawa oleh pembangunan industri berteknologi terbabit.

Sebelum ini, penduduk dari 11 taman perumahan sekitar Bertam, membantah cadangan pembinaan CLQ berhampiran Taman Mekar Sari di Bertam berikutan bimbang wujud pelbagai masalah sosial dan kesihatan di kawasan itu kelak.

Projek pembangunan itu didakwa dalam kelulusan mendapatkan kebenaran merancang dan mempunyai dua pakej.

Pakej pertama membabitkan cadangan membina 45 unit plot industri dan tiga blok asrama pekerja 10 tingkat, manakala pakej kedua membabitkan cadangan membina 99 unit plot industri dan empat blok asrama pekerja 10 tingkat yang keseluruhannya berjumlah 977 unit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2022 @ 6:17 PM