FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pembangunan Projek Lembu Tenusu berskala besar di Chuping, Perlis dijangka mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan kepada Keluarga Malaysia dan bakal menggalakkan pembangunan industri penghasilan susu segar domestik.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, projek itu juga meningkatkan tahap sara diri (SSL) negara dalam mengeluarkan susu cecair dan segar sekali gus mengurangkan defisit perdagangan makanan negara serta tekanan kos produk tenusu.

"Pembangunan projek ini membabitkan pelaburan sehingga RM4.5 bilion merangkumi penanaman makanan ternakan lembu tenusu, penghasilan dan pemprosesan susu segar, operasi pembungkusan serta pengedaran produk tenusu," katanya menerusi catatan di Facebook rasmi beliau, tadi.

Perdana menteri berkata, beliau menyaksikan pemeteraian Perjanjian Usahasama (JVA) antara FGV Holdings Bhd, Baladna Food Industries W.L.L dan Touch Group Holdings Sdn Bhd bagi projek itu selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022, Sabtu lalu.

Ismail Sabri berkata, komitmen Malaysia untuk merealisasikan pembangunan projek ladang tenusu integrasi di negara ini adalah susulan daripada lawatan beliau ke Qatar pada Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 2:26 PM