MOHAMMED Azman menyampaikan bantuan FOT dan FPM kepada Farah Hani Filzah. FOTO Azhar Ramli
MOHAMMED Azman menyampaikan bantuan FOT dan FPM kepada Farah Hani Filzah. FOTO Azhar Ramli
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: "Kali terakhir saya jumpa arwah ayah (Allahyarham Leftenan Kolonel (B) Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52) pada pagi Isnin ketika menghantarnya di KTM Kajang untuk pergi ke Ipoh, Perak.

"Arwah hanya nasihatkan saya seperti nasihat-nasihat biasa seorang ayah cuma arwah ada cakap dengan saya, minggu ini tak payah ambil dia, dia akan balik sendiri."

Demikian luahan anak sulung kepada Allahyarham Fajim Juffa, Farah Hani Filzah, 25, ketika menceritakan kali terakhir berjumpa dengan arwah bapanya.

Pada 1 Ogos lalu, Allahyarham Fajim Juffa terbabit dalam kemalangan pesawat ringan terhempas di kawasan rumah pam Sungai Rokam, Perak, manakala seorang lagi lagi jurulatih penerbangan Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, dari Bukit Damansara, Kuala Lumpur, cedera.

Farah Hani Filzah berkata, dia sememangnya tidak menyangka bahawa itu adalah pesanan terakhir arwah bapanya dan kejadian itu berlaku tanpa diduga.

"Kami dapat panggilan telefon malam kejadian mengatakan bahawa pesawat yang dinaiki arwah terhempas dan kami terus bergegas ke Ipoh (Perak).

"Dalam perjalanan ke Ipoh, kami menerima panggilan daripada pihak hospital (Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk datang ke Bilik Forensik dan ketika itu kami tahu bahawa salah seorang mangsa yang meninggal dunia itu adalah bapa kami," katanya.

Ketika ditanya berhubung bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), beliau mengakui sedikit lega dengan bantuan berkenaan dan secara tidak langsung meringankan sedikit beban.

Pada masa sama, PERKESO menyampaikan bantuan faedah PERKESO kepada waris Allahyarham Fajim Juffa iaitu balunya, Hayati Nawi, 50 yang disampaikan oleh Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed yang turut menziarah dan menyantuni waris kepada allahyarham.

Bantuan berkenaan adalah Faedah Orang Tanggungan (FOT) dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) kepada kedua waris.

Allahyarham turut meninggalkan dua lagi anak perempuan, Farah Hani Filzah, 25 dan Farisah Natasha, 23.

Ketua Cawangan Skuad Prihatin dan Sinergi PERKESO, Ismail Abi Hashim berkata, pihaknya sudah melakukan pemprosesan faedah dibuat dengan kadar segera, sejurus Skuad PERKESO Prihatin mengetahui berita kemalangan berkenaan menerusi laporan media.

Menurutnya, langkah proaktif diambil dengan mendapatkan maklumat dan membuat semakan caruman Allahyarham Fajim dan hasil semakan mendapati arwah menerusi warisnya layak menerima faedah PERKESO.

"Memandangkan kemalangan berlaku semasa arwah sedang menjalani latihan penerbangan malam, maka pemprosesan faedah dibuat menerusi Skim Bencana Pekerjaan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4). Waris telah menerima bayaran FPM sebanyak RM2,000 untuk sekali bayar pada 3 Ogos lalu, manakala bayaran FOT sebanyak RM3,555 setiap bulan akan disalurkan kepada balunya (untuk seumur hidup) dan anaknya (sehingga usia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama).

"PERKESO juga komited untuk memastikan kesinambungan bantuan dapat terus disalurkan kepada keluarga Allahyarham Fajim, menerusi pelbagai program dan inisiatif yang disediakan oleh PERKESO ataupun agensi-agensi lain menerusi Program Sinergi Sosial," katanya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2022 @ 3:44 PM