Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Lebih 1,500 peluang pekerjaan dalam bidang kejuruteraan dan teknologi ditawarkan kepada graduan dalam Pameran Kerjaya Bidang Kejuruteraan & Teknologi anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang berlangsung semalam dan hari ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, berkata Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, program itu turut mendapat kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (Mida) dan 10 syarikat swasta terkemuka.

"Penganjuran seminar dan pameran kerjaya 'Career Crafting- Engineering & Technology' ini memberi peluang penempatan pekerjaan sekali gus menyokong kepada kadar kebolehpasaran yang tinggi kepada graduan di bawah MARA.

"Syarikat ternama seperti Prasarana Malaysia Berhad, KPMG Malaysia, Micron Memory Malaysia Berhad, Perusahaan Otomobil Nasional (Proton), Genting Malaysia Berhad dan beberapa lagi turut serta menawarkan peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan tahap pendidikan graduan," katanya selepas Perasmian Penutup Seminar dan Pameran Kerjaya Bidang Kejuruteraan & Teknologi di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Che Murad Sayang Ramjan; Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf dan Pengarah Eksekutif MIDA (Fasiliti Pelaburan) Jasbir Kaur.

Mahdzir berkata, sejumlah 1,200 graduan dan penuntut sudah mendapat padanan kerjaya masing-masing sepanjang dua hari penganjuran program itu.

"Secara keseluruhannya kira-kira 3,000 penuntut dan graduan MARA hadir untuk mencari padanan kerjaya mereka.

"Penganjuran program seperti ini selaras dengan usaha kerajaan dalam mengurangkan kadar pengangguran graduan Bumiputera dengan mengurangkan masalah ketidakpadanan bidang pengajian dan skop kerja dalam industri," katanya.

Tahun lalu, kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan profesional yang dilahirkan oleh MARA mencapai 94 peratus, sekali gus membuktikan mereka mempunyai kemahiran asas yang tinggi, cekap, dan sentiasa memenuhi kehendak industri.

Mahdzir berkata, penganjuran program padanan kerjaya MARA juga sebagai sebahagian Agenda Keluarga Malaysia di bawah Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia yang dilancarkan bulan lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"MARA memberi tumpuan kepada tiga program utama iaitu Inisiatif Pengajian, Latihan dan Penempatan (Mystep) serta Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran (Upskill Malaysia).

"Kerajaan sentiasa komited untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada graduan dan saya percaya usaha berterusan MARA akan memastikan graduan Bumiputera tidak tercicir dan mendapat pekerjaan mengikut bidang berdasarkan kelayakan.

"Selain itu, ia juga akan membantu mengurangkan isu ketidakpadanan antara bekalan buruh dengan permintaan tenaga kerja di pasaran," katanya.

Mahdzir Khalid (kanan) beramah mesra bersama pelajar-pelajar dari Kolej Kemahiran Tinggi Mara pada Majlis Penutupan Seminar dan Pameran Kerjaya Bidang Kejuruteraan dan Teknologi hari ini. FOTO BERNAMA
Mahdzir Khalid (kanan) beramah mesra bersama pelajar-pelajar dari Kolej Kemahiran Tinggi Mara pada Majlis Penutupan Seminar dan Pameran Kerjaya Bidang Kejuruteraan dan Teknologi hari ini. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 2:59 PM