Kakitangan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan menunjukkan ikan yang ditangkap ketika menjalankan inventori di Empangan Triang, Jelebu. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Kakitangan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan menunjukkan ikan yang ditangkap ketika menjalankan inventori di Empangan Triang, Jelebu. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Kemunculan dua spesis ikan 'pendatang' membabitkan spesis Keli Afrika dan Peacock bass di negeri ini menjadi punca kemusnahan benih ikan tempatan.

Dua spesis ikan asing ini dianggap amat agresif apabila menelan apa sahaja ikan tempatan selain menjadi punca kepupusan ikan bernilai tinggi.

Sehingga kini spesis ikan tempatan seperti Kelah, Tapah, Terbul, Masai, Sebarau dan udang sungai antara hidupan paling terancam.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Kasim Tawe berkata, program inventori dilakukan bagi mengenal pasti kepelbagaian spesis dan taburan ikan air tawar yang masih selamat.

Menurutnya, langkah itu bertujuan mengumpul maklumat dan memantau aktiviti penangkapan ikan di perairan umum seperti sungai, lombong atau tasik.

Katanya program inventori di negeri ini kebiasaannya dijalankan di Lombong Dua Betong, Rantau, Sungai Muar, Londah Gemas, Sungai Palong, Kampung Jeram Panjang, Jempol dan Sungai Rembau, Linggi.

"Program ini kebiasaan dijalankan sekurang - kurangnya dua kali setahun dan inventori juga bertujuan bagi memastikan spesis ikan tempatan tidak pupus dan dapat terus dibiakkan.

"Selain itu inventori dilakukan bagi membolehkan jabatan perikanan mengenal pasti spesis ikan tempatan dan spesis ikan asing yang berada di lokasi berkenaan," katanya ketika mengulas mengenai inventori yang dijalankan di Empangan Triang di sini, semalam.

Kasim berkata proses inventori penting bagi mengetahui sesuatu spesis yang terdapat di dalam sungai, tasik atau lombong sama ada dihuni ikan asli tempatan atau ikan asing.

Katanya, kehadiran spesis ikan asing boleh mengancam ikan asli dan kepupusan.

"Jika dibiarkan, ikan asli boleh mengalami kemerosotan seterusnya kepupusan. Sekiranya ikan asing dijumpai di sesuatu perairan, jabatan perikanan akan memperbanyakkan pelepasan ikan asli tempatan supaya perairan negara tidak terus didominasi spesis ikan asing.

"Jabatan perikanan turut merancang program pengurusan perikanan sungai bersama komuniti kampung selain komited memperkasa pemuliharaan ikan sungai asli," katanya.

Kasim berkata ikan yang ditangkap sama ada ikan asli atau asing akan direkodkan maklumatnya seterusnya membolehkan pihak jabatan perikanan mengetahui spesis ikan yang ada di sungai, tasik atau lombong.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 2:37 PM