Halimi menunjukkan anak ikan kelah yang dilepaskan di Sungai Triang, Jelebu ketika inventori perikanan darat. Foto Abnor Hamizam Abd Manap
Halimi menunjukkan anak ikan kelah yang dilepaskan di Sungai Triang, Jelebu ketika inventori perikanan darat. Foto Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Populasi ikan asli tempatan di perairan negara sentiasa diutamakan melalui tugas inventori atau proses perincian ikan air tawar oleh Jabatan Perikanan Negeri Sembilan.

Ia bertujuan bagi memastikan spesis ikan tempatan tidak pupus dan dapat terus dibiakkan.

Inventori yang dilakukan jabatan perikanan membabitkan kawasan empangan, tasik, lombong selain sungai di setiap daerah sekurang - kurangnya dua kali setahun.

Selepas tertangguh sejak Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) dilaksanakan 8 Mac tahun lalu, Jabatan Perikanan Negeri Sembilan memulakan proses inventori berhampiran Sungai Triang di sini, baru-baru ini.

Jabatan Perikanan Negeri Sembilan memilih Sungai Triang, Jelebu bagi lokasi inventori berikutan sungai berkenaan turut menjadi pertemuan Sungai Kenaboi yang terkenal dengan kehadiran ikan kelah.

Sungai Triang yang bermula di Jelebu sebelum alirannya berakhir di Sungai Pahang antara sungai utama di daerah ini yang membekalkan air bagi penduduk di daerah ini.

Pelbagai spesis ikan asli menjadi penghuni sungai ini antaranya sebarau, lampam sungai, terbol, baung, haruan, keli kampung dan kelah.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Halimi Abu Hanip yang turut menyertai inventori itu memberitahu, tugasan itu dilakukan bagi membolehkan jabatan perikanan mengenal pasti spesis ikan tempatan dan spesis ikan asing berada di sungai berkenaan.

Tugas itu turut disertai empat wartawan Harian Metro yang berjaya memancing ikan baung dan sebarau di sungai berkenaan.

Setiap ikan yang ditangkap akan dikenal pasti dan maklumat berkaitan ikan seperti berat, panjang dan jenis akan diambil serta disimpan sebagai rekod penting inventori.

Wakil media turut diberi peluang melepaskan 200 anak ikan kelah bersama Halimi sebagai simbolik program berkenaan.

Selain memancing, pihak Jabatan Perikanan turut memasang jaring bagi menangkap ikan di sungai berkenaan dengan menaiki bot.

Peluang menyertai tugasan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan itu membuka mata terhadap peranan besar terhadap masa depan ikan negara,

Sementara itu Halimi berkata, proses inventori penting bagi mengetahui sesuatu spesis yang terdapat di dalam sungai, tasik atau lombong sama ada dihuni ikan asli tempatan atau ikan asing.

Katanya kehadiran spesis ikan asing boleh mengancam ikan asli dan sekiranya itu berlaku dan dibiarkan ikan asli boleh mengalami kemerosotan seterusnya kepupusan.

"Ikan yang ditangkap sama ada ikan asli atau asing akan direkodkan maklumatnya dan membolehkan kita mengetahui spesis ikan yang ada di sungai, tasik atau lombong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 8:51 PM