KASIM Tawe (dua dari kanan ) menyerahkan bantuan makanan ikan kepada penternak yang terjejas akibat banjir tahun lalu pada majlis di Pejabat Perikanan Jelebu. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
KASIM Tawe (dua dari kanan ) menyerahkan bantuan makanan ikan kepada penternak yang terjejas akibat banjir tahun lalu pada majlis di Pejabat Perikanan Jelebu. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Bukan mudah untuk bangkit semula apabila 78 penternak ikan air tawar di negeri ini mengalami kerugian besar RM15.3 juta membabitkan pelbagai kerosakan dan kemusnahan ekoran banjir besar yang berlaku Disember lalu.

Rata-rata mereka sebelum ini berdepan kerosakan peralatan selain kematian ikan atau udang galah yang diternak di dalam kolam.

Pengarah Perikanan Negeri Sembilan Kasim Tawe berkata, kesemua penternak terbabit bagaimanapun menerima bantuan makanan ikan dan peralatan baru antaranya kincir angin, pam air, jaring tangkap ikan dan benih ikan.

Katanya, bantuan membabitkan peruntukan berjumlah RM1.2 juta dan daripada jumlah penternak itu, 32 penternak dari daerah Jelebu berdepan kerugian RM10.5 juta.

"Di daerah Jempol, seramai 15 penternak terjejas, Rembau dan Port Dickson masing - masing tujuh penternak, Kuala Pilah (lapan penternak), Seremban (enam penternak) manakala Tampin (tiga penternak).

"Daerah Jelebu menerima peruntukan tertinggi bantuan apabila RM568,757 disalurkan kepada penternak yang terjejas," katanya ketika menyerahkan bantuan kepada penternak di Pejabat Perikanan Daerah Jelebu di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Perikanan Daerah Jelebu, Mohd Azhar Jusoh.

Kasim berkata bantuan yang diserah itu diharap dapat meringankan beban ditanggung penternak.

"Saya berharap mereka akan bersemangat dan meneruskan penternakan sekaligus menjamin bekalan ikan air tawar tidak terjejas," katanya.

Sementara itu penternak, Mohd Khairi Latif, 61, mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Perikanan Negeri Sembilan kerana memberikan bantuan sebanyak 381 guni makanan ikan.

"Ia sedikit sebanyak membantu meringankan beban ditanggung berikutan makanan ikan turut mengalami isu kenaikan," katanya.

Seorang lagi penerima bantuan Zakaria Saleh, 63, berkata, dia turut gembira apabila menerima bantuan peralatan kincir angin dan makanan udang galah sebanyak. 147 guni.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2022 @ 9:17 AM