PENTERNAK ikan menerima bantuan makanan ikan yang disampaikan Pegawai Perikanan daerah Jelebu Mohd Azhar (kiri). FOTO Abnor Hamizam
PENTERNAK ikan menerima bantuan makanan ikan yang disampaikan Pegawai Perikanan daerah Jelebu Mohd Azhar (kiri). FOTO Abnor Hamizam
Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: Seramai 10 penternak ikan air tawar di daerah ini yang terjejas akibat banjir pada 2018 dan 2019 menerima bantuan makanan ikan daripada Jabatan Perikanan Negeri Sembilan.

Pegawai Perikanan Daerah Jelebu Mohd Azhar Jusoh berkata, ia membabitkan bantuan 258 beg makanan ikan kepada 10 penternak terbabit.

Katanya bantuan berkenaan bertujuan meringankan beban penternak bagi menampung kos pembelian makanan yang semakin meningkat.

"Setiap satu guni makanan ikan seberat 20 kilogram. Kos keseluruhan bantuan berjumlah RM22,000 .

"Setiap penternak menerima bantuan antara 12 hingga 35 guni makanan ikan, " katanya kepada Harian Metro selepas majlis penyerahan bantuan, tadi.

Mohd Azhar berkata, Jabatan Perikanan Negeri Sembilan komited membantu mereka yang terjejas biar pun selepas dua tahun.

Penternak ikan, Mohd Yunus @Mohd Yusof Ibrahim berkat,a dia gembira kerana menerima 12 guni bantuan makanan ikan berkenaan.

Katanya ternakan ikan tilapia diusahakannya terjejas apabila banjir melanda Kampung Geylang di sini, pada 2018.

Seorang lagi penerima Abd Rahman Aziz, 59 dari Kampung Geylang turut gembira apabila menerima bantuan 35 guni makanan ikan.

"Harga pasaran bagi seguni makanan ikan adalah RM85 dan bantuan ini meringankan kos bagi saya membeli makanan apatah lagi dalam keadaan negara masih berdepan pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 7:09 PM