ANTARA peralatan digunakan sindiket yang dirampas. FOTO ihsan Polis
ANTARA peralatan digunakan sindiket yang dirampas. FOTO ihsan Polis
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Polis menahan sembilan individu disyaki terbabit penipuan menerusi skim pinjaman wang tidak wujud di Taman Sentosa dekat sini, 1 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, suspek terdiri daripada lima lelaki dan empat perempuan berusia antara 17 hingga 29 tahun.

"Sebanyak lapan telefon bimbit pelbagai jenama, satu komputer riba dan satu router turut dirampas dalam serbuan berkenaan.

"Sindiket ini didapati mula aktif beroperasi sejak awal Julai dan modus operandi yang digunakan oleh sindiket ini adalah berperanan sebagai 'call centre' (pusat panggilan)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail berkata, mangsa dicari menggunakan Whatsapp menerusi iklan tawaran pinjaman wang.

"Siasatan mendapati, selepas sindiket berkenaan menghubungi mangsa, mereka akan mengarahkan mangsa untuk membuat pembayaran pendahuluan.

"Pembayaran berkenaan termasuk pembayaran yuran persetujuan, yuran guaman, yuran insuran, yuran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta yuran pengaktifan akaun," katanya.

Menurut Ismail, selepas pembayaran dilakukan, sindiket itu akan memutuskan hubungan dengan mangsa.

"Sindiket berkenaan juga menggunakan beberapa akaun bank milik individu lain bagi kegunaan mangsa membuat pembayaran sebagai syarat mendapatkan wang pinjaman yang ditawarkan.

"Sehingga kini 44 laporan berkaitan kes berkenaan serta kesemua suspek telah ditahan reman selama empat hari sehingga 20 Julai ini dan kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2022 @ 1:01 PM