Zatul Iffah Zolkiply

Marang: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memperuntukkan sebanyak RM1.55 bilion bagi mengurangkan risiko banjir, pengawalan hakisan pantai, pemuliharaan muara sungai dan pembangunan sungai di Terengganu.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, peruntukan itu diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) membabitkan 21 projek terdiri daripada 20 projek sambungan dan satu projek baharu.

Menurutnya, KASA juga sudah memohon 20 projek baharu membabitkan hakisan pantai dan muara untuk dilaksanakan di bawah Rolling Plan (RP3) RMK-12 bagi seluruh negeri Terengganu.

"Saya berharap dengan adanya pelaksanaan projek ini, ia dapat menambah baik sistem pengairan dan saliran di Terengganu sekali gus memelihara kebajikan Keluarga Malaysia secara keseluruhan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Projek Pemuliharaan Muara Sungai Merchang dan Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Pantai Marang di Dewan Sivik Merchang di sini hari ini.

TUAN Ibrahim pada Majlis Pelancaran Projek Pemuliharaan Muara Sungai Merchang dan Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Dewan Sivik Merchang. FOTO GHAZALI KORI
TUAN Ibrahim pada Majlis Pelancaran Projek Pemuliharaan Muara Sungai Merchang dan Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Dewan Sivik Merchang. FOTO GHAZALI KORI

Tuan Ibrahim berkata, KASA melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan dua projek pembangunan di daerah Marang membabitkan peruntukan sebanyak RM46.1 juta bagi pemuliharaan Sungai Merchang dan pengawalan hakisan pantai di Marang.

Katanya, projek pemuliharaan Muara Sungai Merchang yang bernilai RM30.5 juta sedang dilaksanakan dengan kerja-kerja pembinaan bermula pada 15 Disember tahun lalu dan dijangka siap pada 14 Disember 2023

"Bagi projek kedua pula iaituprojek pengawalan hakisan pantai di Pantai Marang, sebanyak RM15.6 juta diperuntukkan dengan projek sudah pun bermula 4 Januari lalu.

"Ia dijangka siap dalam tempoh dua tahun iaitu pada 1 Januari 2024 yang mana projek ini membabitkan membabitkan skop kerja penyuburan Pantai Marang sepanjang 2.2 kilometer," katanya.

Menurut Tuan Ibrahim, situasi semasa mendapan di muara Sungai Merchang serta hakisan di Pantai Marang menimbulkan masalah terhadap navigasi bot nelayan dan pelancong, banjir pantai, kerugian harta benda dan sebagainya.

Katanya, mendapan muara sungai juga turut memberi kesan negatif kepada kualiti air, menjejaskan hidupan akuatik dan aktiviti akuakultur.

"Pengusaha chalet persendirian dan penduduk tempatan juga menghadapi kerugian kerana kurang kunjungan pelancong dan pelawat serta kemusnahan harta benda akibat hakisan pantai.

"Sekiranya projek dapat disiapkan nanti, kawasan pantai di Terengganu akan terus terpelihara dan menjadi tarikan pelancong disamping membantu nelayan kita meningkatkan sumber pendapatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2022 @ 5:41 PM