INDIVIDU yang ditahan dalam serbuan dilakukan AADK Hulu Langat di Kajang, kelmarin.
INDIVIDU yang ditahan dalam serbuan dilakukan AADK Hulu Langat di Kajang, kelmarin.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Dua remaja lelaki dikesan membina sebuah bilik kecil di bawah rumah menggunakan papan lapis sebagai sarang menagih dadah.

Bagaimanapun, kegiatan mereka dibongkar susulan serbuan sepasukan anggota penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Hulu Langat di Kajang di sini, kelmarin.

Ketua Pegawai AADK Hulu Langat Muhamad Ramlan Syed Ahamed berkata, terdapat dua remaja lelaki berusia 16 tahun berada di dalam bilik berkenaan dalam keadaan khayal ketika pemeriksaan dilakukan.

“Kami menemui sebuah bilik kecil di bawah rumah berkenaan selepas menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan itu. Ketika serbuan, hanya ada dua remaja terbabit berada di dalam bilik berkenaan.

“Bilik itu diperbuat daripada papan lapis dan ditutup dengan tirai bagi mengelak kegiatan mereka menagih dadah tidak dikesan ahli keluarga mereka sendiri,” katanya.

Muhamad Ramlan berkata, dalam operasi yang bermula jam 9 malam hingga 1 pagi semalam, pihaknya turut menahan dua lagi remaja lelaki berusia 18 dan 23 tahun dalam dua serbuan berasingan di sekitar daerah ini.

“Hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadap kedua-dua remaja terbabit mendapati mereka positif dadah jenis ganja.

“Semua yang ditahan dibawa ke pejabat AADK Hulu Langat untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 6:45 AM