Motosikal dan rangka yang berjaya dirampas polis selepas menahan 12 suspek curi motosikal di sekitar Ampang Jaya. Foto Ihsan PDRM
Motosikal dan rangka yang berjaya dirampas polis selepas menahan 12 suspek curi motosikal di sekitar Ampang Jaya. Foto Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi

Ampang Jaya: Motosikal Yamaha 135LC, Yamaha 125Z dan Honda EX5 boleh dikatakan 'barang panas' sehingga menjadi sasaran pencuri di sekitar daerah ini sebelum dijual di pasaran gelap atau untuk kegunaan sendiri.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, modus operandi kumpulan atau suspek adalah dengan mencuri motosikal di sekitar dan dalam kawasan perumahan flat atau kawasan awam tepi jalan yang kurang kehadiran orang ramai.

Menurutnya, kebanyakan kejadian kecurian motosikal berlaku bermula 6 petang sehingga 8 pagi.

"Jenis motosikal yang menjadi sasaran adalah jenama Yamaha 135LC, Yamaha 125Z dan Honda EX5 di mana motosikal yang dicuri kebanyakan dijual dalam pasaran gelap dan ada juga untuk kegunaan sendiri atau penggantian komponen kenderaan sendiri.

"Sehubungan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menjalankan operasi secara berterusan dalam mengesan dan menangkap suspek dalam kes kecurian motosikal di daerah ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata, berdasarkan pada perangkaan bermula 24 Jun lalu sehingga semalam, seramai 150 individu lelaki berusia 15 hingga 40 tahun diperiksa.

"Sebanyak 80 buah kenderaan motosikal turut diperiksa dan polis berjaya membuat tangkapan terhadap 12 orang atas pelbagai kesalahan jenayah.

"Hasil pemeriksaan dan pandu arah tangkapan berkenaan, polis menemui semula dan merampas enam motosikal, 24 rangka motosikal, sebuah motosikal dalam keadaan tidak sempurna, satu enjin serta beberapa aksesori motosikal dan juga peralatan untuk mencuri motosikal membabitkan beberapa kes di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga percaya dapat menyelesaikan sebanyak 32 kes kecurian motosikal.

"Sebanyak lapan individu yang ditahan didapati terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

"Empat suspek sudah dituduh mengikut Seksyen 379A dan 411 Kanun Keseksaan, manakala tiga suspek akan diambil tindakan mengikut Undang Undang Pencegahan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), manakala selebihnya masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 11:12 PM